UMPSA guna HCI untuk jadi kampus pintar
Mohd Zalani Md Atan
Julai 5, 2024 10:45 MYT
Julai 5, 2024 10:45 MYT
PEKAN: Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA) kini menjadi sebuah kampus pintar sepenuhnya apabila menyediakan platform digital untuk kegunaan pelajar, pensyarah, dan para penyelidiknya setelah mengadaptasi teknologi HCI.
HCI atau 'Hyper Converged Infrastructure' adalah satu produk digital yang menggabungkan storan, pengkomputeran, rangkaian dan pengurusan di bawah satu bumbung.
Ia berbeza jika dibandingkan dengan sistem tradisional kerana HCI meningkatkan kecekapan penggunaan, menjimatkan ruang dan mengurangkan kos penyelenggaraan. Tambahan pula, sistem ini mudah dikonfigurasi oleh pengguna.
Menurut Ketua Pegawai Maklumat UMPSA, Profesor Madya Dr Mohamed Ariff Ameedeen, memodenkan kampus melalui transformasi HCI adalah langkah penting dalam mempertingkatkan infrastruktur digital universiti.
"HCI memainkan peranan penting dalam pemulihan bencana (disaster recovery) dan kesinambungan urusan di UMPSA. Ia juga merupakan infrastruktur digital yang teguh dan berdaya tahan yang membolehkan kami pulih dengan cepat dari sebarang gangguan (disruption) yang tidak dijangka.
"Jika berlaku sebarang gangguan dari segi elektrikal dan sebagainya, kami dapat 'boot' dengan cepat selepas pemulihan (recovery).
"Dengan HCI, kami boleh dengan mudah membuat semula 'pendua' dan replikasi serta memastikan data sentiasa dilindungi. Ini membolehkan kami kekal beroperasi walaupun menghadapi sebarang bencana yang berlaku di UMPSA," katanya ketika diminta mengulas mengenai HCI.
Tambah Mohamed Ariff lagi, dengan penggunaan HCI, universiti dapat menyediakan perkhidmatan digital yang lebih pantas, fleksibel, dan boleh dipercayai, selaras dengan keperluan teknologi moden serta perkembangan sebuah kampus pintar.
Pemodenan ini juga membolehkan universiti menawarkan pengalaman pembelajaran yang lebih baik dan inovatif kepada pelajar serta kakitangan akademik.
"Dengan pelaksanaan HCI, universiti ini menjadi kampus pintar sepenuhnya. Ia membolehkan kami memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelajar dan kakitangan kerana peralatan yang digunakan adalah canggih serta menyokong kemajuan teknologi masa hadapan.
"UMPSA telah bersedia untuk lebih maju di masa hadapan. Dengan permulaan HCI ini, kami boleh terus berkembang. Kami telah melangkah ke hadapan dalam perjalanan menuju kecemerlangan digital di UMPSA," katanya lagi.
Pengarah Pusat Teknologi Digital UMPSA, Ts Mohd Rashid Abu Bakar pula berkata, dengan kepakaran dan penyelesaian inovatif yang ditawarkan oleh Sangfor, mampu memastikan iInfrastruktur digital yang dibangunkan adalah mantap, efisien, dan mampu memenuhi keperluan masa depan UMPSA.
Malah atas alasan itu, UMPSA membuat keputusan memilih platform yang disediakan Sangfor Technologies.
"Terdapat ramai penyedia HCI di pasaran tetapi di UMPSA, kami memilih Sangfor sebagai rakan teknologi kami kerana teknologi mereka yang inovatif dan berprestasi tinggi memudahkan UMPSA menguruskan sumber-sumber di pusat data," kata Rashid.
Rashid turut berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana menyokong cadangan UMPSA memilih sistem yang dibangunkan oleh Sangfor Technologies.
Pengarah Pendidikan Industri Sangfor, Kane Liu berkata, Sangfor sebagai pembekal teknologi digital UMPSA, komited terhadap pembangunan berterusan perisian HCI, termasuk integrasi Kecerdasan Buatan atau AI ke dalam sistem HCI yang bersesuaian dengan perkembangan teknologi.
"Kami telah menerapkan teknologi mesin AI ke dalam produk HCI kami yang dipanggil SkyHawks, yang dapat membantu pelanggan dengan cekap dan lancar. Kedua, HCI akan secara beransur-ansur menyokong lebih banyak senario AI seperti Makmal AI dan latihan modular AI," katanya.