Umpan ayam: Buaya baham 7 nyawa, 'Bujang Emplam' masuk jerat

Bernama
Januari 2, 2018 06:13 MYT
Seorang nelayan sungai hanya dikenali sebagai Rosli (kiri) menunjukkan buaya yang tersangkut pada jerat menggunakan mata kail berumpan ayam yang dipasangnya di tebing Sungai Sebelak, berhampiran Kampung Emplam, Kabong. - Foto Bernama
Seekor buaya jantan dikenali dengan gelaran 'Bujang Emplam' yang dipercayai telah mengorbankan tujuh mangsa sejak tahun 2007, akhirnya tewas apabila termakan jerat yang dipasang di tebing Sungai Sebelak berhampiran jeti Kampung Emplam, Kabong, pada 7.46 pagi Selasa.
Menurut ketua kampung itu, Boestamam Bakar, 65, buaya berukuran 4.5 meter panjang dengan lilitan badan 1.5 meter juga didapati terbelit pada jerat berumpan ayam itu yang dipasang seorang nelayan sungai.
Beliau berkata semasa ditemui, buaya itu yang sebelum ini sering muncul di tebing sungai serta memakan ternakan ayam dan itik penduduk kampung masih hidup, tetapi telah ditembak empat kali oleh penduduk kampung dengan menggunakan senapang patah.
"Sering kali bila air sungai pasang, buaya ini masuk bawah rumah penduduk dan melibaskan ekor menyebabkan rumah bergegar. Ini menakutkan penghuni.
"Buaya ini juga sering kelihatan di seberang Kampung Emplam oleh penduduk kampung. Ramai orang tidak berani turun ke sungai untuk menangkap udang dan ikan kerana khuatir diserang," katanya ketika dihubungi Bernama.
Boestamam berkata dengan tertangkapnya buaya ganas itu, penduduk kampung boleh menarik nafas lega sedikit.
"Namun begitu ancaman buaya masih ada kerana seekor lagi buaya digelar 'Bujang Hitam', dianggar tiga kali ganda lebih besar berbanding Bujang Emplam, belum lagi berjaya ditangkap. Bujang Hitam ini tidak bermain di tebing tetapi sering kelihatan muncul di tengah-tengah sungai," jelasnya.
Boestamam berkata penduduk Kampung Emplam yang berjumlah lebih 800 orang serta penduduk rumah panjang yang tinggal di sepanjang sungai terdedah kepada ancaman serangan buaya ganas kerana dianggarkan ribuan ekor buaya hidup di Sungai Sebelak.
Sehubungan itu beliau mengingatkan penduduk kampung yang hendak turun menangkap udang dan ikan di Sungai Sebelak supaya sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan bagi mengelak serangan buaya.
Ramai nelayan sungai yang bergantung sumber rezeki hasil Sungai Sebelak tidak berani turun ke sungai berikutan ancaman buaya.
-- BERNAMA
#Ayam #buaya #Bujang Emplam #nelayan #umpan
;