'Umpama kiamat kecil... laung azan kerana bumbung macam nak runtuh'

Sinar Harian
Ogos 6, 2018 16:41 MYT
Mohd Ammar (kiri) bersama kanak-kanak mangsa gempa di Lombok ketika menjayakan misi Bantuan Gempa Bumi Lombok. -Foto Sinar Harian
“Suasananya umpama kiamat kecil dan tiga ustaz yang bersama kami melaungkan azan kerana bumbung bangunan seolah-olah mahu runtuh,” kata seorang guru, Mohd Ammar Sauti, 29, menceritakan detik cemas berdepan gempa bumi di Lombok, Indonesia, semalam.
Ketika kejadian, Mohd Ammar bersama 18 sukarelawan Bridget Negaraku dan Muslim Care Malaysia berada di Lapangan Terbang Lombok menunggu penerbangan untuk pulang ke Malaysia selepas selesai melaksanakan misi Bantuan Gempa Bumi Lombok sejak Sabtu lalu.
Menurut Mohd Ammar, kumpulannya yang terdiri daripada empat pegawai perubatan, seorang pelajar perubatan dan 13 sukarelawan dijangka berlepas pulang ke tanah air pada jam 8 malam namun ketika sedang melakukan imbasan terakhir menaiki penerbangan, tiba-tiba berlaku gegaran kuat.
Katanya, sejurus gegaran berlaku, bekalan elektrik terputus dan orang ramai mula panik lari menyelamatkan diri hingga ada yang terpijak sesama sendiri manakala tiga ustaz yang juga ahli rombongan itu tidak putus-putus melaungkan azan.
“Keadaan begitu kelam kabut dengan cermin pecah dan bumbung pula macam mahu runtuh. Betul-betul macam berlakunya kiamat kecil, kami takut kerana ini pengalaman pertama berdepan dengan kejadian gempa bumi.
“Bila berlaku gegaran kuat, kami terus tinggalkan barang selamatkan diri dengan satu kumpulan yang sudah lepas imbasan berlari ke landasan manakala saya dan beberapa rakan lain keluar ke pintu utama," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi hari ini.
Mohd Ammar berkata, selepas 30 minit kakitangan lapangan terbang membuat pengumuman meminta agar penumpang penerbangan ke Kuala Lumpur menaiki pesawat.
“Saya dan rakan-rakan terpaksa merempuh orang ramai dengan berteriak memaklumkan kami dari Kuala Lumpur supaya mereka memberi laluan.
"Alhamdulillah, mereka beri laluan kepada kami untuk masuk ke landasan dan saya sempat mengambil semula barang ditinggalkan,” katanya.
Timbalan Presiden Bridget Negaraku itu berkata, walaupun berjaya menaiki pesawat, hati mereka masih bimbang jika berlaku gegaran kedua apatah lagi amaran tsunami turut dikeluarkan.
“Pesawat hanya berlepas selepas 30 minit dan dalam tempoh itu kami hanya diam membisu. Kami sedih memikirkan nasib mangsa-mangsa yang kami bantu terutama golongan warga emas, wanita dan kanak-kanak kerana lokasi itu dikatakan kawasan yang terjejas akibat gempa ini.
“Salah seorang doktor sebenarnya berhasrat untuk tinggal sehari lagi di Lombok, tapi dibatalkan pada saat akhir. Memang ketika sampai di sana ada berlaku gegaran, kami dalam kenderaan nampak penduduk berlari keluar tapi tidak sekuat ini. Apa pun kami bersyukur kerana terselamat,” katanya.
Kumpulan itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 11.55 malam tadi dan Mohd Ammar sampai di Terengganu jam 7 pagi tadi.
Sepanjang dua hari misi, sukarelawan terbabit memberi bantuan perubatan kepada mangsa gempa di Dusan Bayan dan sekitar perkampungan Gunung Rinjani.
Gempa bumi kuat berukuran 7 skala Ritcher melanda Lombok Utara, Indonesia sekitar jam 6.46 petang waktu tempatan.
Gempa itu yang melanda kedalaman 15 kilometer dari pantai utara Lombok, berlaku seminggu selepas gempa bermagnitud 6.4 membunuh 14 orang di pulau itu.
#Bantuan Gempa Bumi Lombok #gempa bumi #Indonesia #kiamat kecil #KLIA #Lombok #Mohd Ammar Sauti
;