#UMNO2015: Jangan guna kebebasan bersuara untuk menikam parti - Idris Haron

Bernama
Disember 11, 2015 18:27 MYT
"Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa."
Anggota UMNO perlu memanfaatkan kebebasan bercakap yang diberikan kepada mereka untuk memperbaiki serta menjadikan parti lebih teguh dan bukannya untuk menikam parti, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Idris Haron.
Justeru, katanya ruang bercakap yang diberikan kepada anggota parti dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat pemimpin wajar dimanfaatkan dengan menggunakan saluran parti dan bukan menggunakan ruang luar untuk menyuarakan pendapat mengenai parti.
"Dalam konteks UMNO sendiri, struktur kita menyebut secara sistematik setiap perwakilan peringkat cawangan, bahagian hingga kebangsaan boleh bercakap, bahas usul peringkat cawangan, bahas usul peringkat bahagian hingga bahas usul peringkat kebangsaan.
"Tidak ada dalam prosedur parti yang menyebut kita boleh membahaskan usul di luar parti, tidak ada dalam perlembagaan parti menyebut kita boleh bercerita tentang keburukan parti bukan dalam gelanggang parti.
"Semua anggota parti kena ingat, fahami dan hayati dengan mendalam pepatah Melayu yang kita warisi daripada generasi terdahulu iaitu 'sebab pulut santan binasa sebab mulut badan binasa'," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau ditemui ketika mengadakan lawatan ke Wisma Bernama di sini serta menjadi tetamu rancangan 'Bernama Today' terbitan Bernama TV. Turut hadir Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh.
Ditanya mengenai keputusan Majlis Tertinggi UMNO untuk tidak membenarkan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 Idris berpendapat keputusan itu sebagai suatu peringatan dan tanda sayang sebuah keluarga.
"Ini seperti keluarga... umpama anak langgar peraturan. Ibunya kata 'you are grounded'. Saya kira halangan itu pun merupakan tindakan wajar. Presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak) sangat besar jiwanya hanya beri peringatan, 'be careful' lain kali jangan buat lagi," katanya.
Ketika diwawancara, Idris menjelaskan tentang betapa pentingnya perpaduan dan kesepakatan di kalangan anggota UMNO untuk parti itu terus mara bagi mencapai wawasannya.
"Kita perlu bermula dengan perpaduan dan kesepakatan... kita tidak boleh ada perpecahan dalam parti sebab banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk rakyat dan pilihan raya umum akan datang," katanya.
##UMNO2015 #idris haron #Muhyiddin Yassin #Perhimpunan Agung UMNO 2015
;