UMNO tak mahu 'jilat ludah sendiri' terima Bersatu - Khaled Nordin
Fareez Azman
Julai 6, 2019 20:38 MYT
Julai 6, 2019 20:38 MYT
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin secara sinis mempersoalkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak semua parti politik Melayu bergabung di bawah satu parti.
Kata Khaled, beliau tidak terkejut jika ada mana-mana parti politik ingin bekerjasama dengan UMNO kerana ia merupakan parti Melayu yang terbesar.
Malah, katanya kerjasama UMNO dan Pas yang sedang dilakukan di bawah agenda penyatuan ummah mempunyai naratif, strategi dan niat yang baik dalam membawa kepada penerimaan dan sokongan besar orang Melayu di seluruh negara.
"Akan tetapi, apabila Bersatu yang mahu mendekati UMNO, malah mengajak parti ini untuk menyertai pasukan kecil mereka. Saya tergamam, malah saya kelu dan keliru."
"Seingat saya, UMNO sudah mati seperti yang didakwa oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini. UMNO sudah rosak dan parti yang korup kononnya mahu mempertahankan sesetengah pemimpin sahaja seperti yang dikecam Tun Mahathir. Jadi adakah kini Tun Mahathir dan tiba-tiba melihat UMNO sebagai parti mati yang hidup semula? Yang secara ajaib sudah tidak korup dan tidak rosak?" katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Justeru, jelas Khaled, beliau berpendirian tegas bahawa UMNO akan kekal sebagai UMNO dengan prinsip dan aspirasi yang jelas serta ikhtiar menjadi lebih baik.
"Atas dasar prinsip, kami juga tidak mahu menjilat kembali ludah sendiri dengan menerima Bersatu," katanya.
Malah, ujarnya pelawaaan itu ditolak dengan baik dan tegas kerana UMNO tidak mahu menjadi parti terdesak dan gilakan kuasa sehingga enggan memperbaiki diri dengan cara sewajarnya.
Beliau turut berharap agar Tun Mahathir tidak menghalang kebangkitan dan pemulihan UMNO serta mengucapkan selamat maju jaya kepada Bersatu.
#Kenyataan Media
#kerjasama
#Khaled Nordin
#Mahathir Mohamad
#Media
#Melayu
#Muhyiddin Yassin
#Naib Presiden
#PAS
#pelawaan
#Perdana Menteri
#politik
#Rasuah
#rosak
#UMNO