UMNO Selangor minta kerajaan mansuhkan tol Lebuhraya Persekutuan

Bernama
Jun 1, 2014 08:59 MYT
NOH OMAR: Kerajaan pusat diharap dapat mempertimbang untuk memansuhkan sekurang-kurangnya tol yang menghala ke Kuala Lumpur.
Kerajaan disaran menyemak semula kajian pemansuhan Plaza Tol Sungai Rasau serta Tol Batu Tiga di sini berikutan tahap kesesakan yang dialami pengguna dari Klang dan Shah Alam ke Kuala Lumpur semakin teruk.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata kajian sebelum ini seharusnya dilihat semula memandangkan jumlah kenderaan menggunakan Lebuhraya Persekutuan semakin meningkat.
Beliau berkata biarpun cadangan untuk menghapuskan tol di kedua-dua arah belum diputuskan namun pihaknya berharap kerajaan pusat dapat mempertimbang untuk memansuhkan sekurang-kurangnya tol yang menghala ke Kuala Lumpur.
"Saya pernah bangkitkan isu ini pada Kabinet dan kajian mengenainya juga telah dibuat Kementerian Kerja Raya sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Rakyat dan Usahawan Membara di sini Sabtu.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas isu kecurian pasir di Selangor, Noh menyarankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membuat pemeriksaan dan menyiasat lebih terperinci untuk mencari dalang sebenar kegiatan berkenaan.
Baru-Baru ini, media melaporkan kegiatan mencuri pasir di Sungai Long, Kajang masih berleluasa meskipun pasukan petugas khas Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KKSB) seliaan kerajaan Selangor sudah ditubuh bagi menanganinya.
#Noh Omar #Selangor #tol Lebuhraya Persekutuan #UMNO
;