'UMNO sedar perubahan landskap politik, perlu ambil tindakan sesuai situasi semasa'

Madiha Abdullah
Januari 12, 2023 09:20 MYT
Mohamad ketika berucap pada Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Landskap politik negara yang disifatkan fluid menyaksikan kerjasama politik formal antara parti yang terikat dengan prinsip serupa, tidak lagi relevan.
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Sivamurugan Pandian berkata, UMNO nyata sangat jelas tentang hal ini dan sedar apa sahaja keputusan atau langkah seterusnya haruslah menepati kedudukan dan situasi semasa.
"Apa yang dinyatakan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan bermaksud, dalam keadaan fluid, UMNO perlu membuat keputusan yang tidak membelakangkan parti. Dan dalam masa yang sama, tidak menidakkan perjuangan kepimpinan.
"Kita lihat, setiap 10 tahun, UMNO akan melalui cabaran berbeza sejak kemerdekaan.
"Dan menjelang 2027, saya percaya ini ruang untuk UMNO memastikan apa sahaja penjajaran yang sedang dirangka menepati kedudukan serta kepentingan semasa," katanya dalam Buletin AWANI khas pasca ucapan Timbalan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 malam tadi.
Beliau memberi reaksi terhadap kenyataan Mohamad yang mengakui sukar menjawab perihal masa depan UMNO kerana ia cukup subjektif.
"Sekarang adalah era di mana keperluan untuk mengurus negara mengatasi keperluan untuk berpolitik demi mendapatkan kuasa," kata Mohamad dalam ucapannya.
BACA: PAU2022: Hapus politik wang, UMNO hanya untuk mereka yang bersih, kasih kepada bangsa
BACA: PAU2022: UMNO sertai Kerajaan Perpaduan kerana mengutamakan Malaysia - Tok Mat
Sivamurugan juga berpendapat, penjelasan Mohamad berhubung keserasian bergerak dengan Pakatan Harapan dalam kerajaan perpaduan sebagai satu ruang membetulkan kekeliruan dan mengakui bahawa kerajaan perpaduan diperlukan dalam situasi politik luar biasa.
"Ini fasa yang perlu dilalui UMNO, pasti akan ada ikhtiar yang membolehkan UMNO bergerak ke hadapan dengan perubahan yang mahu dilakukan, seiring perkembangan kedudukan mereka yang kehilangan sokongan Melayu, UMNO perlu buat pilihan rasional dan praktikal sesuai keperluan semasa," ujarnya.
Tambahnya, keinginan UMNO untuk berada dalam kerajaan adalah berasaskan untuk memastikan nilai yang mahu dibina bagi keutuhan parti, mengambil kira ruang dan peluang kemudahan yang memberi kelebihan.
"Ia dirasakan akan membantu UMNO mencari peluang yang memungkinkan politik perkhidmatan diteruskan, tetapi soal integriti harus dihadam bagi membolehkan ia tidak dikompromi, khususnya dalam soal pembentukan kerajaan," katanya lagi.
PAU 2022 | Pasca ucapan Timbalan Presiden UMNO
#Mohamad Hasan #Pakatan Harapan #UMNO #kerjasama politik formal
;