UMNO sambut baik siasatan - Annuar Musa
Muhafandi Muhamad
Mei 23, 2018 06:50 MYT
Mei 23, 2018 06:50 MYT
UMNO menyambut baik sebarang siasatan yang dilakukan ke atas bekas pemimpin mereka selepas pembentukan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).
Namun, menurut ketua penerangannya, Tan Sri Annuar Musa, prinsip "rule of law" atau keluhuran undang-undang perlu dipertahankan dalam sebarang bentuk siasatan dan pendakwaan.
Katanya, seseorang itu bersalah apabila ianya dibuktikan bersalah oleh mahkamah.
"Saya menyokong, siasatan satu benda yang wajib kalau ada sesiapa sahaja, baik pemimpin UMNO atau pemimpin kerajaan, tapi 'rule of law' mesti dipertahankan, jangan jadi 'rule of men'… asalkan berjalan ikut saluran undang-undang, silakan.
"Tetapi, jangan anggap seseorang itu salah sebelum dibuktikan bersalah. Tiada siapa yang harus dikecualikan."
Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas siasatan yang dilakukan ke atas bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta beberapa orang lagi pemimpin UMNO dan bekas ketua jabatan kerajaan.
Dalam pada itu, katanya, beliau secara peribadi menyokong apa jua tindakan Kerajaan Persekutuan PH termasuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Tegasnya, tindakan yang baik oleh kerajaan seharusnya disokong, apatah lagi kerajaan yang tertubuh pada hari ini merupakan kerajaan yang diberikan mandat oleh rakyat.
Sebagai parti pembangkang, beliau berpandangan perkara yang baik untuk rakyat tidak sepatutnya dinafikan bahkan ianya perlu dihormati.
#Annuar Musa
#GST
#kerajaan malaysia
#Najib Razak
#Pakatan Harapan
#PTPTN
#siasatan 1mdb
#siasatan sprm
#UMNO