UMNO Sabah terus pertahan kerajaan GRS - Bung Mokhtar

Ruzaini Zulkepli, Eleanor Michelle Patrick
Mac 29, 2021 15:53 MYT
Jelas Bung Mokhtar =perundingan kerusi antara UMNO Sabah dan GRS bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih di peringkat perbincangan. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengulangi pendiriannya untuk terus mempertahankan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata, sebarang pergolakan politik yang berlaku di Semenanjung Malaysia tidak akan memberi kesan kepada kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri ini.
Menurut beliau, UMNO pusat telah merencanakan beberapa cadangan sebelum ini namun keputusan itu tidak akan menggugat politik di Sabah.
"Saya juga memberi 'lampu hijau' bahawa UMNO Sabah adalah sebahagian daripada UMNO Malaysia dan kita menghormati keputusan mereka.
"Di Semenanjung mereka boleh melihat pendekatan macam mana untuk mereka melaksanakan politik di sana tetapi di Sabah kita akan pertahan melalui GRS," jelasnya.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Pelancaran Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu, hari ini.
Terdahulu, Bung Moktar tdalam kenyataan medianya di Perhimpunan Agung Umno di ibu negara semalam, mendedahkan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) melalui GRS akan kekal menerajui Kerajaan Negeri Sabah.
Kata Bung Mokhtar perkara itu telah direstui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang menghormati keputusan berkenaan dalam mempertahankan mandat rakyat Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 September tahun lepas.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perundingan kerusi antara UMNO Sabah dan GRS menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti, jelas Bung Moktar berkata, ia masih di peringkat perbincangan.
"Masih terlalu awal untuk kita buat keputusan.
"Kita akan berunding cara terbaik untuk selesaikan masalah ini," katanya.
#UMNO #PPBM #Sabah #GRS #Bung Mokhtar #Ketua Menteri #Zahid Hamidi #pilihan raya #pilihan raya umum #presiden #Malaysia
;