UMNO Sabah harap kemelut politik Semenanjung diselesaikan dengan berhemah
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Ogos 6, 2021 22:28 MYT
Ogos 6, 2021 22:28 MYT
KOTA KINABALU: UMNO Sabah berharap agar kemelut politik di Semenanjung dapat diselesaikan secara berhemah, harmoni dan bijaksana demi kemaslahatan negara serta rakyat.
Dalam satu kenyataan, UMNO Sabah turut menjunjung kasih di atas titah Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara supaya semua pihak menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.
"Seperti termaktub di bawah Fasal 3 Perlembagaan UMNO, semua saf kepimpinan serta ahli UMNO Sabah menumpahkan sepenuh taat setia kepada Raja-Raja Melayu dan berikrar untuk terus mendukung dan memayungi Perlembagaan Persekutuan serta Perlembagaan Negeri-Negeri.
"Sebagai adik bongsu berautonomi kepada UMNO Malaysia, apa jua keputusan dan ketetapan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti akan sentiasa dihormati dan diakuri serta disesuaikan dengan kuasa autonomi UMNO Sabah," katanya.
Selain itu, UMNO Sabah berpendirian untuk terus kekal dan menyokong Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, UMNO Sabah berharap keputusan itu dihormati semua pihak demi kestabilan dan kemakmuran rakyat serta negeri tercinta ini.
"Pendirian UMNO Sabah untuk terus kekal dan menyokong kerajaan GRS dipimpin Hajiji.
"Mandat yang diberikan oleh rakyat Sabah kepada UMNO Sabah pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN-16) yang lepas akan dihormati, diperkukuh dan dimatangkan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.