'UMNO perlu tampilkan tokoh-tokoh muda'

Astro Awani
Oktober 20, 2013 07:30 MYT
UMNO digesa menampilkan tokoh-tokoh muda dalam barisan kepimpinannya bagi memenangi hati pengundi muda dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Timbalan Dekan Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi (UiTM), Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin sewaktu menjadi tetamu program bual bicara Agenda AWANI sempena Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO berkata, keputusan keseluruhan pemilihan UMNO pada Sabtu agak mengecewakan.
Menurut beliau, jika dibuat perbandingan dengan barisan kepimpinan parti pembangkang yang berjaya menonjolkan tokoh-tokoh muda, ini dilihat sebagai satu cabaran buat UMNO.
Beliau menambah, berdasarkan keputusan PRU13 yang lalu, nyata UMNO menerima tamparan hebat daripada golongan pengundi muda terutama sekali dari kawasan bandar.
Ini kerana, menurut beliau, UMNO perlu mencari jalan untuk meyakinkan semula pengundi muda untuk terus memberi sokongan kepada parti itu dan caranya adalah dengan memberi peluang kepada pemimpin muda di peringkat kepimpinan tertinggi.
Shaharuddin berpendapat, Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden UMNO harus memikirkan mengenai pelantikan Majlis Tertinggi yang memberi peluang kepada golongan muda bagi menunjukkan bakat mereka dalam politik.
Ujar beliau, tokoh-tokoh politik terkemuka negara seperti Tan Sri Isa Samad, Tan Sri Rahim Thamby Chik serta Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mula bergiat dalam bidang politik pada usia yang muda memberi kelebihan kepada mereka.
Menurut Shaharuddin, mereka ini telah berada di pentas politik untuk jangka masa yang panjang dimana ia memberi pengalaman mereka untuk dijadikan bekalan dalam berhadapan dengan pihak lawan parti masing-masing.
#Dr Shaharuddin Badaruddin #majlis tertinggi #pemilihan #pemimpin muda #pengundi muda #UMNO
;