UMNO perlu semai politik ketahanan dan berimbang - Ahmad Zahid
Rahimah Abdullah
Disember 6, 2019 12:15 MYT
Disember 6, 2019 12:15 MYT
Politik ketahanan dan berimbang perlu diterapkan serta disemai dalam UMNO, ujar Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau, dua budaya baharu politik modenisasi abad ke-21 itu bukan lagi satu pilihan tetapi satu kemestian.
Malah, katanya, jika mahu terus relevan, UMNO perlu menterjemahkan segala dasar dan tindakannya mengikut hasrat dan keperluan rakyat.
"Apa itu politik ketahanan? Ia bermaksud UMNO hendaklah memperkuatkan daya tahan dan daya juang, agar tidak mudah diurai oleh cabaran keduniaan atau sogokan.
"Sudah tentu, kita diasak, hingga kadangkala melemahkan semangat juang, malah ada yang sanggup menggadai maruah perjuangan. UMNO wajib merubah dirinya supaya mampu membina sifat ‘political resillience’ atau ketahanan politik," katanya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden semasa Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini pada Jumaat.
Katanya lagi, UMNO memerlukan politik berimbang bagi menghadapi politik huyung-hayang dan politik songsang.
"UMNO bukan parti yang rigid, rasis atau terlalu longgar dan liberal , “La ifrata wa la Tafrit”. Kita perlu mengubah UMNO kepada budaya politik berimbang berasaskan prinsip perjuangan, keterbukaan dan perundingan selagi asas-asas Perlembagaan dan kontrak sosial tidak dicabuli,"jelasnya lagi.
Malah tegas beliau, UMNO perlu bangkit dan tidak biarkan diri mereka dipijak.
"Apabila hak kita dicabar, apabila keamanan kita digugat, apabila keharmonian kita dirobek, apabila kedaulatan kita dipersenda, sama-sama kita bangkit mempertahankannya. Ingatlah! Tunduk kepala, bukan untuk dipijak. Berlembut, bukan untuk diperbodohkan," tegas Ahmad Zahid lagi.