UMNO P.Pinang mahu penjelasan berhubung status keahlian mereka

Bernama
September 29, 2013 20:30 MYT
Sebahagian anggota UMNO di Pulau Pinang hari ini mahu pucuk pimpinan parti itu memberi penjelasan berhubung status keanggotaan mereka selepas menerima surat mengenai perkara itu Rabu dan Khamis lepas.
Sambil meminta perkara itu disiasat, Timbalan Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Jasmin Mohamed antara 21 anggota di bahagian itu yang menerima surat berkenaan, berkata surat itu menimbulkan beberapa keraguan berikutan mereka yang menghantar borang pencalonan untuk pemilihan UMNO Oktober ini turut ditolak.
"Mengikut fasal 6.2.4 Perlembagaan parti, ahli-ahli yang sedang di dalam cadangan untuk digantung atau dipecat tidaklah hilang hak keahliannya.
"Jadi mengikut fasal apa yang kami dikenakan tindakan seperti ini, kami mohon pihak pemimpin tertinggi UMNO menyiasat perkara ini. Kami semua sayang parti sebab itu mahukan penjelasan daripada pucuk pimpinan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya 21 orang termasuk enam anggota di bahagian itu yang menghantar borang untuk bertanding pada pemilihan parti di bahagian itu hilang kelayakan untuk bertanding peringkat bahagian nanti kerana didakwa cuba mensabotaj parti dalam pilihan raya umum lepas.
"Kalau betul seperti itu mengapa surat ini hanya dikeluarkan pada 20 Sept lepas dan bukan dikeluarkan sebaik pilihan raya umum berakhir pada Mei lalu.
"Tetapi surat itu juga hanya sampai kepada kami pada 25 dan 26 Sept lepas iaitu selepas tamatnya tempoh 72 jam yang diberi kepada calon yang menawar diri untuk bertanding dalam pemilihan peringkat bahagian nanti," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Jasmin yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO negeri, Datuk Daud Taha berhubung tujuh calon yang menawar diri untuk bertanding dalam pemilihan UMNO peringkat bahagian di Pulau Pinang digantung keanggotaan mereka kerana cuba mensabotaj parti pada pilihan raya umum lalu.
Sementara itu, Jasmin yang menghantar borang untuk bertanding Ketua Bahagian berkata apa yang berlaku itu seolah-olah menunjukkan wujudnya unsur sabotaj untuk menghalang mereka yang terlibat daripada bertanding.
"Dalam surat yang kami terima menyatakan keahlian kami digantung sehingga siasatan selesai tetapi yang menimbulkan keraguan Lembaga Disiplin parti belum mengeluarkan sebarang keputusan.
"Kami juga dipanggil oleh Lembaga Disiplin pada 12 Sept lepas dan telah memberi keterangan. Selain itu kami juga dimaklumkan oleh Lembaga Disiplin yang kami boleh bertanding," katanya.
#Datuk Jasmin Mohamed #pulau pinang #UMNO
;