UMNO NS tidak mahu pertandingan jawatan tertinggi

Bernama
Jun 3, 2013 23:07 MYT
Umno Negeri Sembilan pada Isnin membuat resolusi bahawa jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan pada semua peringkat akhir tahun ini.
Pengerusi Badan Perhubungannya Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pendirian itu bagi memantapkan lagi parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Selain itu, ia juga bagi mengelak perpecahan dalam parti serta mahu gandingan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku presiden dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dikekalkan.
"Gandingan ini adalah amat mantap dalam menghadapi PRU14," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan itu dan Barisan Nasional (BN) negeri di sini pada Isnin.
Seramai 146,500 perwakilan Umno daripada 161 bahagian di seluruh negara akan membuat pemilihan pucuk pimpinan parti pada akhir tahun ini selaras dengan pindaan perlembagaan parti pada 2009.
Mohamad, yang juga Menteri Besar dan Pengerusi BN negeri, berkata ini adaah di antara tiga resolusi yang dicapai pada mesyuarat badan itu Selasa.
Dua lagi resolusi ialah Umno negeri menyokong penuh kepimpinan Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno serta pengerusi BN serta tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan satu parti.
"Kita tidak bersetuju kerana kita belum lagi bersedia untuk membubarkan Umno. Penubuhan parti Umno ini merupakan sebuah parti untuk mencapai kemerdekaan dan membangunkan negara. Umno adalah sebuah parti yang memperjuangkan anak bangsa.
"Tidak apalah kita ada beberapa parti komponen di bawah BN. Yang pentingnya setiap parti memperbaiki dan memperkukuhkan diri masing-masing," katanya.
Sementara itu, katanya BN negeri tidak akan mengemukakan sebarang petisyen PRU13 dan kini dalam proses menyiapkan laporan post-mortem mengenai prestasi BN negeri pada PRU13 yang diadakan pada 5 Mei lepas.
#Negeri Sembilan #UMNO
;