UMNO Kelantan serah sepenuhnya kepada SPRM siasat Ketua Wanita Bahagian

Bernama
April 29, 2017 15:27 MYT
Badan Perhubungan UMNO Kelantan menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat seorang ketua wanita bahagian parti itu di negeri ini.
Badan Perhubungan UMNO Kelantan menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat seorang ketua wanita bahagian parti itu di negeri ini, berhubung dakwaan kes penyelewengan.
Setiausahanya, Datuk Hanafi Mamat berkata UMNO Kelantan yakin siasatan terhadap ketua wanita berusia 69 tahun itu tidak akan menjejaskan parti.
"Dalam kes ini individu terbabit masih lagi menjawat jawatan ketua wanita UMNO bahagian dan kita akan melihat hasil siasatan sebelum sebarang tindakan diambil," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sambutan Hari UMNO ke-71 di Bangunan UMNO Negeri di sini, hari ini.
Khamis lepas, SPRM mengambil keterangan bekas timbalan presiden Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) yang juga ketua wanita UMNO bahagian di negeri ini, berhubung dakwaan kes penyelewengan dana pada pilihan raya kecil Parlimen Rompin pada 2015.
Mengenai Sambutan Hari UMNO Ke-71 di negeri ini, Hanafi berkata sambutan yang akan bermula pada 1 hingga 4 Mei ini melibatkan semua anggota parti tersebut.
Antara acara yang akan diadakan ialah larian bendera, kayuhan basikal, jalan kaki serta program tambahan seperti solat berjemaah, nasyid, pidato, dikir barat, nyanyian patriotik serta ceramah isu-isu semasa.
Beliau berkata sambutan tersebut diadakan bagi membangkitkan semangat anggota supaya sentiasa cintakan parti dan bersemangat untuk berjuang.
-- BERNAMA
#Hanafi Mamat #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #UMNO #UMNO Kelantan