UMNO Kelantan cadang tubuh j'kuasa kabinet cari jalan ringankan beban rakyat

Astro Awani
Disember 25, 2013 06:09 MYT
Mohd Alwi Che Ahmad - Gambar Fail
Bagi menangani kenaikan kos sara hidup, UMNO Kelantan mencadangkan supaya satu jawatankuasa kabinet yang dipengerusikan oleh perdana menteri atau timbalannya dan menteri kanan ditubuhkan.
Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad menjelaskan jawatankuasa khas itu diharap dapat mencari jalan meringankan beban rakyat selepas berlaku kenaikan tarif dan kesan penstrukturan subsidi.
Mohd Alwi berkata UMNO Kelantan akan membuat usul kepada kerajaan berhubung kenaikan tarif dan penstrukturan subsidi yang menyebabkan kenaikan kos sara hidup yang tinggi.
Katanya penubuhan jawatankuasa itu dilihat penting kerana masalah kenaikan kos sara hidup ini akan menyebabkan rakyat terbeban dan kelak akan memberi implikasi buruk kepada kerajaan dan negara.
"Soal kenaikan kos hidup ini kesannya sangat tinggi kepada rakyat, bukan sahaja rakyat Kelantan, orang UMNO atau PAS kita bincang sikit tajuk ini dan saya nak cadangkan kepada kerajaan pusat terutama YAB perdana menteri supaya menubuhkan satu jawatankuasa kabinet yang dipengerusikan oleh PM atau TPM untuk menangani kos hidup yang tinggi. Tidak cukup dengan lab yang dicadangkan oleh saudara Khairy," katanya pada sidang media di sini pada Selasa.
Mohd Alwi berkata, sebelum ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mencadangkan supaya diwujudkan sebuah makmal untuk mengkaji secara terperinci kenaikan kos sara hidup ini, namun ianya dilihat tidak memadai kerana isu ini perlu dibincangkan melalui sebuah jawatankuasa secara serius.
Jelas beliau, jawatankuasa itu perlu dipengerusikan sendiri oleh perdana menteri atau timbalan perdana menteri serta menteri yang terlibat dalam ekonomi berbincang dan mencari kaedah terbaik untuk menangani isu ini.
Katanya sekiranya isu ini tidak ditangani segera, ianya akan menjadi lebih besar dan parah yang boleh menjejaskan negara.
Sementara itu dalam perkembangan lain, UMNO Kelantan melalui biro penerangan akan menyusun isu dan kepincangan pentadbiran kerajaan PAS Kelantan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob untuk dibentangkan kepada rakyat Kelantan.
Katanya kepimpinan baru PAS Kelantan dilihat lemah dalam membangunkan negeri Cik Siti Wan Kembang itu termasuk pembangunan fizikal dan rohani rakyatnya.
Katanya kenaikan bayaran cukai, caj parkir dan tarif air di lihat satu isu yang perlu dijawab oleh kerajaan PAS Kelantan.
#Datuk Mohd Alwi Che Ahmad #UMNO Kelantan