UMNO junjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah
Bernama
Januari 30, 2024 22:10 MYT
Januari 30, 2024 22:10 MYT
KUALA LUMPUR: UMNO menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah menyempurnakan tempoh pemerintahan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, hari ini.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan berkata tempoh lima tahun sebagai Raja Pemerintah yang penuh dengan liku dan cabaran seperti pandemik COVID-19 serta kemelut politik, memperlihatkan kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah dalam melaksanakan hak Perlembagaan.
"Negara dan rakyat sudah pasti terhutang budi Ke Bawah Duli Tuanku yang penuh dengan hikmah dalam memerintah watan.
Pastinya tercatat dalam sejarah negara bahawa dalam era pemerintahan Tuanku, Malaysia mampu dikemudi dengan jayanya dan terus dihormati di persada dunia.
Dirgahayu Tuanku yang akan kembali bersemayam sebagai Sultan dan Raja Pemerintah Negeri Pahang Darul Makmur," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata UMNO turut menyembah takzim kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang akan dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Berbekalkan pengalaman luas Sultan Ibrahim dalam pemerintahan, beliau berharap agar Malaysia terus gemilang dan maju jaya.
"Daulat Tuanku, payung negara tempat teduhan rakyat jelata," katanya.
-- BERNAMA