'UMNO guna formula SMPPSS persiapan PRU-14' - Ahmad Maslan
Wan Syamsul Amly
Ogos 3, 2015 12:29 MYT
Ogos 3, 2015 12:29 MYT
UMNO akan menggunakan formula SMPPSS iaitu berdoa dan berusaha 'Siang, Malam, Pagi, Petang, Subuh dan Senja' sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kelak.
Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan berkata, formula itu diyakini dapat memenangi jiwa serta minda rakyat untuk terus menyokong UMNO pada PRU akan datang.
"Kita perlu terus mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian. Pembangkang yang sedang kucar-kacir sekarang ini, tapi kenapa pula kita yang hilang keyakinan untuk menang?" katanya kepada Astro AWANI di sini, hari ini.
Ahmad berkata demikian sebagai mengulas kenyataannya sebelum ini yang berkata tidak perlu menjawab sama ada Barisan Nasional (BN) boleh menang PRU atau tidak jika ia diadakan esok, kerana menurutnya PRU hanya mungkin akan diadakan pada 2018.
Bagaimanapun pengguna media sosial mempertikaikan kenyataan itu selain menjadikannya bahan jenaka sesama mereka.
Dalam pada itu, bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut berkata kenyataan 'esok tidak lagi PRU' Ahmad sememangnya 'lawak antarabangsa' kerana ia tidak masuk akal.
Ahmad turut memuat naik formula itu di laman Twitternya.
Selain SMPPSS kata Ahmad, UMNO juga akan memberi khidmat dengan menggunakan formula KBSMM iaitu ziarah dan bantu ketika 'kenduri, bersalin, sakit, malapetaka dan mati'.
Tegasnya, UMNO juga perlu ada elemen empat 'S' iaitu 'Setia, Sepakat, Strategi dan Sungguh-sungguh' di dalam perjuangan.
"Jika kita yang menjadi jeneral perang sentiasa menyebut yang negatif, contohnya dalam perang ini kita akan kalah, maka segala askar dan pejuang tidak akan ada semangat untuk menang selain tidak akan berjuang habis-habisan.
"Dalam peperangan politik dan peperangan persepsi, kita perlu memberikan gambaran yang positif.
"Tidak akan ada perkara yang positif boleh dicapai dengan berfikiran yang negatif. Jika nanti diadakan PRU, BN akan menang," jelasnya.