UMNO fail permohonan gantung prosiding kes saman SRC International

Bernama
Disember 9, 2021 20:30 MYT
Dalam tuntutan saman itu, plaintif mendakwa UMNO mengetahui bahawa wang RM16 juta itu adalah milik SRC International dan parti politik tersebut tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: UMNO memfailkan permohonan untuk menggantung prosiding kes saman SRC International Sdn Bhd terhadap parti politik itu bagi menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada UMNO.
Menerusi afidavit sokongan, Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan berkata alasan permohonan itu antaranya defendan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon pada 10 Nov lepas, yang menolak permohonan parti politik berkenaan untuk membatalkan kes saman tersebut dan membenarkan permohonan SRC International, Gandingan Mentari dan Jendela Pinggiran selaku plaintif untuk meminda writ saman dan pernyataan tuntutan.
"Defendan tidak berpuas hati terhadap kedua-dua keputusan itu dan telah memfailkan dua notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan pada 17 Nov.
"Pada hari yang sama juga (10 Nov), Quay membenarkan permohonan defendan untuk penggantungan sementara (interim) prosiding tindakan itu (saman) termasuk pemfailan pernyataan pembelaan dan mengarahkan defendan memfailkan permohonan penggantungan prosiding kes saman tersebut," kata Mohd Sumali dalam afidavit sokongan itu.
Mohd Sumali mendakwa tiada sebarang prejudis kepada plaintif-plaintif sekiranya mahkamah membenarkan permohonan penggantungan prosiding kes saman itu.
"Sekiranya permohonan ini (penggantungan) tidak dibenarkan oleh mahkamah dan defendan diarahkan untuk memfailkan pernyataan pembelaan, rayuan-rayuan tersebut akan menjadi sia-sia dan akademik kerana jika rayuan-rayuan itu dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan, maka keseluruhan prosiding permohonan ini akan terbatal," kata Mohd Sumali.
Sementara itu, peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili UMNO ketika dihubungi Bernama selepas pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Noordura Mohamed Din, berkata mahkamah menetapkan pendengaran permohonan penggantungan kes saman itu di hadapan Quay pada 10 Mac depan secara dalam talian.
Prosiding hari ini disertai peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili UMNO dan Nur Syafinaz Vani Abdullah mewakili kesemua plaintif.
Dalam tuntutan saman itu, plaintif mendakwa UMNO mengetahui bahawa wang RM16 juta itu adalah milik SRC International dan parti politik tersebut tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan.
Pada 10 Mei lepas, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa 1MDB dan anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd telah memfailkan 22 saman bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.
Kementerian itu menyebut writ saman terbabit difailkan pada 7 Mei iaitu enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC.
-- BERNAMA
#SRC International #UMNO #saman SRC #Mohd Sumali Reduan
;