UMNO dari awal yakin Ahmad Zahid mangsa pendakwaan politik

Sinar Harian
September 4, 2023 16:33 MYT
Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO berpendirian tegas agar situasi itu tidak perlu lagi berulang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: UMNO berharap titik hitam di dalam sejarah perundangan negara sehingga sistem dan institusi keadilan didakwa diperalatkan mesti dinoktahkan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO berpendirian tegas agar situasi itu tidak perlu lagi berulang.
"Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti terus bebas dan berani melaksanakan amanah mereka tanpa rasa takut dan pilih kasih terhadap mana-mana pihak termasuklah terhadap pimpinan dan ahli UMNO sendiri," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, seluruh keluarga besar UMNO menzahirkan rasa syukur dengan keputusan Peguam Negara memberhentikan pendakwaan kesemua baki 47 kes pertuduhan yang dihadapi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Sejak dari awal UMNO yakin dan percaya bahawa Ahmad Zahid adalah mangsa pendakwaan politik yang dilakukan ketika Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14," ujarnya.
Beliau berkata, salah satu daripada 11 alasan pendakwa raya memperakui bahawa pendakwaan dilakukan secara tergesa-gesa sedangkan siasatan tidak sempurna boleh menjejaskan kredibiliti AGC dan SPRM yang diperlihatkan menjadi alat pembunuhan musuh politik oleh pihak berkuasa.
"Ini bagaikan mengesahkan satu memo taklimat yang tular (jika benar keabsahannya) beberapa minggu lepas yang disediakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib kepada Peguam Negara ketika itu (Tan Sri) Tommy Thomas yang telah mencadangkan bahawa tiada apa-apa pertuduhan boleh dibuat ke atas Ahmad Zahid kerana tiada sebarang keterangan serta bukti menjurus kepada sebarang perlakuan jenayah adalah suatu yang amat menggemparkan," katanya.
Namun dakwa Asyraf, dua hari selepas tarikh memo tersebut dibentangkan kepada Tommy, pendakwaan tetap dilakukan secara tergesa-gesa seolah-olah ada tangan ghaib berniat jahat yang membuat pengarahan.
"Dengan keputusan ini, maka semakin jelaslah kerakusan kepimpinan Dr Mahathir dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sanggup menganiayai pemimpin UMNO dengan memperkakaskan institusi-institusi perundangan demi dendam untuk menghancurkan parti ini," dakwanya.
Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara telah menerima representasi Timbalan Perdana Menteri itu bagi menggugurkan kesemua tuduhan. - Sinar Harian
#Zahid Hamidi #UMNO #pendakwaan politik #Asyraf Wajdi Dusuki
;