UMNO cadang sidang khas Parlimen mengenai banjir
Bernama
Januari 5, 2022 19:39 MYT
Januari 5, 2022 19:39 MYT
KUALA LUMPUR: Sidang khas Dewan Rakyat mengenai banjir perlu diadakan bagi membolehkan wakil rakyat mengutarakan pandangan dan melontarkan cadangan untuk membantu kerajaan mencari jalan terbaik menghadapi bencana itu, kata Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata UMNO berdukacita kerana koordinasi agensi-agensi berkaitan yang sepatutnya aktif digerakkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) seolah-olah tidak bermaya dan lemah dalam menghadapi musibah banjir kali ini.
"Dengan angka korban yang begitu tinggi berbanding banjir besar yang pernah melanda negara pada tahun 1971 (30 orang) dan 2014 (21 orang), tentunya memerlukan kerajaan Keluarga Malaysia melaksanakan segera saranan titah Yang di-Pertuan Agong agar dilakukan 'post-mortem' bencana banjir," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sambil menghargai segala bantuan kepada mangsa banjir seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang jumlahnya sehingga RM61,000, Ahmad Zahid berkata UMNO berharap maklumat mengenai kaedah pelaksanaan dan penyaluran bantuan dapat segera dimaklumkan manakala karenah birokasi dikurangkan agar prosesnya dipercepatkan.
Ahmad Zahid berkata UMNO juga berharap pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara one-off juga dapat dipertimbangkan selaras dengan ketetapan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada 27 Ogos tahun lepas.
Pada 31 Dis tahun lepas, Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan supaya mengadakan sidang khas Dewan Rakyat untuk membahaskan isu banjir yang melanda di beberapa negeri hingga memusnah banyak tempat tinggal selain meragut ramai nyawa.
-- BERNAMA
#Ahmad Zahid Hamidi
#Sidang Khas Dewan Rakyat
#Agensi Pengurusan Bencana Banjir
#bencana banjir 2021