UMNO, BN tolak pelawaan Tun M sebab sekongkol dengan DAP

Harits Asyraf Hasnan
Julai 8, 2019 08:02 MYT
UMNO, kata Ahmad Zahid Hamidi, suka menerima pelawaan pihak yang terus bersekongkol dengan DAP. - Gambar BERNAMA
UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan menerima mana-mana penyatuan parti politik yang bersekongkol dengan DAP.
Perkara itu ditegaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan, UMNO dan BN tidak boleh menerima DAP yang kini antara parti yang memegang tampuk pentadbiran Kerajaan.
“Tentunya kita tidak dapat menerima sebarang pelawaan selagi mana-mana parti apatah lagi mana-mana pemimpin parti, yang terus bersengkongkol dengan DAP.
“UMNO dan BN tidak boleh terima jika DAP terus menguasai kerajaan yang ada sekarang ini apatah lagi DAP menterjemah agenda ‘Malaysian Malaysia’ yang tidak dapat diterima oleh UMNO dan BN. Ini adalah pendirian rasmi UMNO dan BN,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Menurut beliau, kemajmukan rakyat Malaysia tidak harus dilepas pandang dalam konteks ini.
“Biarpun UMNO dan BN sentiasa berfikiran terbuka dan berlapang dada untuk menerima realiti politik di dalam apa juga situasi politik, namun tawaran yang kita perolehi secara terbuka tidak dapat diterima oleh UMNO dan BN kerana untuk menjaga perpaduan Islam dan Melayu, ia harus dilihat dalam konteks kemajmukan masyarakat di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelawaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempelawa supaya orang Melayu bersatu, termasuk daripada UMNO dengan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
BACA: Jangan takbur dan sombong dalam isu perpaduan Melayu - Hishammuddin
BACA: Penyatuan parti Melayu: Anwar mahu dengar sendiri dari Tun M
#Mahathir Mohamad #Perdana Menteri #Presiden UMNO #sekongkol dengan DAP #UMNO BN tolak pelawaan Tun M #Zahid Hamidi