UMNO - BN tidak terikat MoU, boleh saran PM bubar Parlimen - Isham Jalil
Fareez Azman
April 17, 2022 15:57 MYT
April 17, 2022 15:57 MYT
KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah bersetuju menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, kata Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil.
Memandangkan tidak terikat dengan MoU, justeru, BN, kata beliau, tiada sebarang kekangan untuk menyarankan kepada Perdana Menteri membubarkan Parlimen.
“Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak pernah setuju tandatangan MoU dengan PH, sebab itu kita tidak terikat dengan MoU itu.
"Saya ada tulis (menjawab) semalam kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bahawa UMNO jangan masuk campur… saya nak jawab, kita tidak kira MoU itu, sebab itu kita tidak terikat kalau nak sarankan kepada Perdana Menteri untuk bubar Parlimen," jelasnya dalam sidang media di sini, hari ini.
Sidang media penganjuran program Debat Perdana antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut disertai Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil.
Dalam perkembangan sama, Isham berkata, UMNO juga telah membuat keputusan tidak akan menyokong sekiranya MoU itu dilanjutkan.
"Sekarang UMNO sudah buat keputusan kita tidak akan lanjut MoU itu dan tidak akan sokong kalau kerajaan nak lanjutkan MoU itu.
"Kita juga tidak terkekang kalau nak sarankan kepada PM kalau bubarkan Parlimen. Walaupun Anthony Loke kata UMNO jangan masuk campur, PM adalah daripada parti UMNO, dia adalah orang parti yang akan berbincang dengan kita dulu," katanya lagi.