UMNO adakan mesyuarat khas MKT, bincang pengurangan hukuman Najib

Hasimi Muhamad
Februari 2, 2024 00:33 MYT
Ahmad Zahid berkata, mesyuarat khas tersebut berlangsung pada jam 11 pagi. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: UMNO mengadakan satu mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada Sabtu bagi membincangkan pengumuman pengurangan tempoh hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mesyuarat khas tersebut berlangsung pada jam 11 pagi.
Justeru itu, beliau berkata parti Melayu itu membuat keputusan menangguhkan Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera yang dijadualkan pada Sabtu.
"Kolokium yang dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani sepatutnya akan dihadiri 2,000 pimpinan UMNO dari 191 Bahagian seluruh negara," katanya dalam kenyataan tersebut.
Serentak itu, satu mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan diadakan jam 11.00 pagi Sabtu untuk membincangkan perkembangan muktakhir politik semasa tanah air khususnya bersangkutan dengan pengumuman pengurangan tempoh hukuman Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak oleh Lembaga Pengampunan.
Lembaga Pengampunan pada Jumaat memaklumkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersetuju mengurangkan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap Najib.
Lembaga tersebut mengesahkan hukuman penjara beliau dikurangkan daripada 12 tahun ke enam tahun, dan denda terhadapnya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan adalah pada 23 Ogos 2029.
#tempoh hukuman #hukuman penjara #Mesyuarat Khas #UMNO
;