Ummah rindu kepimpinan yang tidak zalim, menindas, menipu dan munafik - Sultan Nazrin

Astro Awani
Oktober 18, 2021 21:15 MYT
Sultan Nazrin turut menzahirkan kebimbangan berkenaan isu rasuah yang bukan sahaja berlaku secara berleluasa, tetapi juga dilakukan secara lebih berani dan terbuka. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ummah amat merindui kepimpinan yang adil lagi saksama, kepimpinan yang berani menegakkan kebenaran dan tegas melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.
Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah ia seiring sifat-sifat kepimpinan Nabi Muhammad di mana ia merupakan sifat-sifat kepimpinan yang wajib dijadikan contoh ikutan.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan berkenaan isu rasuah yang bukan sahaja berlaku secara berleluasa, tetapi lebih berani dan terbuka.
"Ummah, merindui kepimpinan yang adil lagi saksama, kepimpinan yang berani menegakkan kebenaran dan tegas melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.
"Ummah merindui kepimpinan yang tidak melakukan kezaliman, tidak menindas, tidak menipu dan tidak bersifat munafik.
"Ummah semakin menyuarakan kerinduan untuk dianugerahkan kepimpinan yang tidak rasuah, tidak menyalahgunakan kuasa, tidak mengamalkan nepotisme dan tidak bersifat pecah amanah," titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada Isnin.
Mengakhiri titah itu, Sultan Nazrin turut berdoa supaya negara dipimpin oleh orang yang beramanah, jujur dan ikhlas.
"Ya Allah! Kami pohon untuk Engkau mengamanahkan kepimpinan dan pengurusan negara kepada orang-orang yang amanah, jujur dan ikhlas, berani menegakkan kebenaran - tegas melaksanakan keadilan berlandaskan hukum; orang-orang yang menghayati, menjiwai dan mengamalkan sifat-sifat kepimpinan Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam.
"Ya Allah! Cucurilah rahmat dan kesejahteraan ke atas penghulu kami, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, hamba-Mu dan pesuruh Nabi yang Ummi, dan ke atas keluarga dan sahabat-sahabat Baginda.
"Ya Allah! Mencukupilah kami berserah kepada Mu, tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Besar. Amin Ya Rabul Alamin," doa baginda.
Justeru, Sultan Nazrin berpandangan negara yang mendapat kesejahteraan, keredaan, berkat dan rahmat Ilahi akan dilimpahi kedamaian dan kemakmuran, dilindungi daripada bencana dan malapetaka, buminya subur dan kaya.
#Sultan Nazrin Muizzuddin Shah #Maulidur Rasul #sifat pemimpin negara #Rasuah
;