UMMAH Perak beri tempoh dua minggu laksana kempen produk halal di masjid

Aida Aziz
Oktober 20, 2019 19:40 MYT
Menurut Datuk Khalil Idham Lim Abdullah, larangan ke atas BMF adalah sangat janggal, dan tidak pernah berlaku dalam sejarah pemerintahan negara.
Gerakan Pembela Ummah Perak (UMMAH Perak) memberi tempoh dua minggu untuk kerajaan negeri Perak menggerakkan karnival jualan atau kempen berkaitan produk halal di masjid.
Pengerusinya, Datuk Khalil Idham Lim Abdullah menegaskan, jika tiada sebarang maklum balas berhubung perkara itu, pihaknya bertekad untuk meneruskan jadual kempen Buy Muslim First (BMF) yang sudah siap disusun di semua masjid pilihan seluruh Perak.
Katanya lagi, tindakan menghalang kempen BMF dijalankan di seluruh masjid negeri Perak adalah bercanggah dengan kenyataan Mufti Perak yang menyokong program ini sebelum ini.
"Kami menegaskan Kempen BMF bukannya rasis dan tidak berhasrat memboikot produk bangsa lain, tetapi bentuk kempen biasa yang sihat dalam dunia perniagaan.
"Kempen ini mensasarkan peniaga muslim untuk pembeli muslim di tempat paling mulia umat Islam berhimpun, masjid perlu menjadi pusat kesatuan dan penggerak ekonomi umat Islam.
"Larangan ini (BMF) adalah satu larangan yang sangat janggal, tidak pernah berlaku dalam sejarah pemerintahan negara, orang nak menjual produk Muslim dalam (kawasan) masjid. Produk Muslim itu istilah saja... ia benda yang halal lah," katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas di Ipoh pada Ahad.
Katanya lagi, kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Agama Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi berhubung isu itu adalah tindakan yang tidak menghormati Institusi dan Jabatan Mufti.
Baru-baru ini, Asmuni sebagaimana yang dilaporkan media, melarang kempen BMF di seluruh masjid di negeri Perak.
Beliau dipetik berkata Perak memilih untuk mengutamakan kempen membeli barangan halan kerana ianya adalah tuntutan sebenar seperti yang dinyatakan dalam al-Quran.
Asmuni turut berpesan kepada pimpinan mana-mana parti yang terlibat dalam kempen berkenaan agar melihat jauh kesan yang akan dihadapi oleh para peniaga Melayu.
BACA: BMF bukan usaha boikot produk bukan Muslim - YPNM
BACA: Kempen membeli barangan Muslim tidak salah - Mohd Redzuan
#BMF #BMF bukan rasis #bukan boikot #Buy Muslim First #orang islam #Perak #produk halal
;