UMK nafi berlaku plagiarisme dalam kalangan ahli akademiknya

Bernama
November 9, 2014 08:21 MYT
UMK menafikan berlaku plagiarisme dalam kalangan ahli akademik universiti berkenaan seperti yang didakwa di laman sosial Facebook. -Gambar fail
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada Sabtu menafikan berlaku plagiarisme dalam kalangan ahli akademik universiti berkenaan seperti yang didakwa di laman sosial Facebook beberapa hari lalu.
Naib Canselornya Datuk Dr Raduan Che Rose berkata pihaknya memandang serius dakwaan tersebut dan telah melakukan siasatan.
“Ini satu kes serius dan saya telah menyiasat perkara tersebut dengan memanggil kedua-dua individu terlibat iaitu individu yang kena tuduh dan individu yang membuat tuduhan untuk menyelesaikan perkara ini. Saya dapati ini disebabkan sedikit salah faham sahaja," katanya kepada pemberita selepas
Majlis Anugerah Citra 2014 UMK di Kampus Pengkalan Chepa di sini, malam tadi.
Laman Facebook itu sebelum ini mendedahkan mengenai salah laku yang kononnya dilakukan oleh seorang profesor dari UMK yang berdepan dengan tuduhan plagiat ketika menyiapkan tesis kedoktoran di sebuah universiti luar negara.
Beliau berkata beliau telah menghubungi universiti luar negara berkenaan untuk memaklumkan perkara tersebut dan ini merupakan kes salah faham.
Raduan yang juga Setiausaha Agung Majlis Profesor Negara berkata isu kredibiliti akademik menjadi satu perkara yang sangat penting dan pihaknya tidak ada toleransi sekiranya ia benar-benar berlaku.
Beliau berkata perkara tersebut tidak perlu diperbesar kerana ia hanya satu salah faham dan telah diselesaikan selain menggesa ahli akademik untuk menumpukan usaha membangunkan UMK ke peringkat yang lebih dikenali.
“Saya ingin melihat tenaga kita, usaha kita dan segala apa yang ada untuk membangunkan universiti bukan sama-sama bergaduh,” katanya.
#raduan che rose #UMK #Universiti Malaysia Kelantan
;