"Umi akan selalu ziarah adik" - Ibu angkat

Shuhada Abdul Kadir
Februari 1, 2021 15:57 MYT
Norlida Abu Hassan tidak mampu membendung rasa sebak ketika bercakap pada wartawan selepas pengebumian jenazah kanak-kanak malang yang didakwa lemas dalam tong dan dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya. - Gambar Astro AWANI
JASIN: “Umi akan selalu datang ziarah ‘adik’, Umi rasa seperti ‘adik’ sedang tidur sahaja.”
Itu nada sayu Norlida Abu Hassan, 50, ibu angkat kepada kanak-kanak malang yang didakwa lemas dalam tong dan dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya.
Menurut Norlida, meskipun usahanya untuk membawa pulang anak angkat kesayangannya ke kediaman mereka di Rawang, Selangor tidak berjaya, namun, dia lega dan bersyukur urusan pengebumian Allahyarham berlangsung lancar.
“Alhamdulillah ‘adik’ sudah selamat dikebumikan. Umi reda apa yang berlaku dan terima kasih pada keluarga kandung arwah yang bekerjasama dengan umi hingga selesai.
“Ya, umi akan datang (ziarah) selalu sebab dia tidur sahaja, wajah dia pun segar… dia macam tidur sahaja, anak syurga kan,” katanya dalam linangan air mata ketika ditemui selepas selesai proses pengebumian kanak-kanak itu di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, di sini tengah hari tadi.
BACA: Kanak-kanak lemas dalam tong selamat dikebumi di Jasin
Terdahulu, proses pengebumian kanak-kanak malang itu selesai sekitar pukul 12.45 tengah hari dengan dihadiri oleh keluarga kandung dan keluarga angkat.
Sebelum itu, jenazah kanak-kanak malang dituntut oleh waris keluarga ibu kandung di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka pada sebelah pagi dan di bawa ke Madrasah As Syakirin untuk dimandikan dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan itu.
Proses pengebumian jenazah Allahyarham kanak-kanak bekenaan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar sekali gus menamatkan tanda tanya di mana dan keluarga mana yang akan menguruskannya.
Norlida yang juga ibu angkat arwah kanak-kanak itu membesarkannya sejak lahir sehingga Oktober tahun lalu merayu jenazah itu dibawa ke Rawang, Selangor, namun ditolak oleh keluarga kandung.
Dalam perbualan dengan wartawan, Norlida juga berkata, anak lelakinya ada bermimpi didatangi kanak-kanak syurga itu yang bagaikan memberi petanda supaya menyegerakan urusan pengebumiannya.
“Dia datang dalam mimpi abang dia minta percepat urusan (pengebumian), kita pun tak nak apa dah, syukur sangat dah selesai,” tambah Norlida lagi.
Proses bedah siasat mayat kanak-kanak itu bermula pukul 11 pagi Ahad sebelum selesai pukul 10 malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman mengesahkan, terdapat pelbagai kecederaan termasuk luka baru di kesan di bahagian belakang kepala kanak-kanak itu.
#kanak-kanak malang #Didera #lemas dalam tong #Melaka #Jasin #Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar #Norlida Abu Hassan #Ibu angkat #umi
;