Umat Islam tidak bersatu angkara penjajah - Abdul Hadi

Sinar Harian
Mac 16, 2024 07:15 MYT
Abdul Hadi (tengah) ditemani Muhammad Khalil Abdul Hadi (kiri) dan Mohd Syahir ketika memberi ucapan ketika menghadiri Program Iftar Yayasan Permata Ummah di Bizmilla Event Hall, Putrajaya, malam tadi. - Gambar Sinar Harian
PUTRAJAYA : Perpecahan umat Islam di Malaysia pada masa sekarang didakwa berpunca daripada dasar zaman penjajahan British suatu ketika dahulu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, penjajahan tersebut berjaya memecahbelahkan perkauman pada generasi kini.
"Mereka (kaum bukan Islam) bersatu. Kesan kepada pemikiran penjajah yang telah memecahbelahkan dan menjatuhkan umat Islam.
"Hanya dengan kembali kepada ajaran Islam sebenar berlandaskan al-Quran yang boleh menyatukan umat Islam dengat kiblat, kitab dan rukun sama," katanya pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika Program Iftar Yayasan Permata Ummah di Bizmilla Event Hall, di sini.
Hadir sama Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin.
Abdul Hadi turut mengingatkan umat Islam perlu menjadikan bulan Ramadan bagi menghidupkan jati diri masing-masing.
"Kita seharusnya kembali semula kepada cahaya petunjuk kerana kemuliaan umat Islam terletak pada pegangan masing-masing," jelasnya. - Sinar Harian
#Umat Islam #perpecahan umat Islam #angkara penjajah #Abdul Hadi Awang
;