Umat Islam Pulau Pinang syukur dapat solat sunat Aidilfitri secara bergilir

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 13, 2021 14:53 MYT
Jemaah di Surau Ar-Rayyan, Taman Seri Serdang Villa, Kepala Batas, Pulau Pinang menunaikan solat sunat Aidilfitri dengan mematuhi SOP. - Gambar Astro AWANI
KEPALA BATAS: Buat julung kalinya, penduduk di Taman Seri Indah dan Taman Seri Serdang Villa, di sini menunaikan solat sunat Aidilfitri secara penggiliran tahun ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
Mereka yang ditemui menzahirkan rasa kesyukuran kerana berpeluang menunaikan solat sunat di surau selepas tidak dapat berbuat demikian pada Aidilfitri tahun lepas.
Menurut Pengerusi Surau Ar-Rayyan, Datuk Syed Shaari Syed Abdullah, meskipun tempoh masa yang diberikan suntuk, namun pihak jawatankuasa surau berjaya melaksanakan solat sunat Aidilfitri dalam tiga sesi sebagaimana yang disarankan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAPP) semalam.
“Kami telah mengadakan tiga sesi bagi tiga kejiranan merangkumi 104 buah rumah. Alhamdulillah, hampir 90 peratus penduduk dapat hadiri solat Aidilfitri pada tahun ini dalam tiga sesi… setiap sesi ada 20 jemaah sebagaimana yang ditetapkan dengan tugas imam yang berlainan, teks khutbah yang sama.
“Kita hanya dapat dalam sehari setengah saja untuk keluarkan SOP (prosedur operasi standard) tetapi. Dengan perbincangan bersama jawatankuasa surau, kami buat persediaan logistik, laluan masuk keluar supaya jemaah tidak bertembung,” katanya kepada Astro AWANI.
Perkara sama diakui Khalid Abdullah yang gembira apabila hajatnya untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di surau berkenaan tercapai.
“Mulanya kami fikir sudah sebab kehadiran 50 sahaja sedangkan yang mahu hadir solat ramai, tetapi bila dapat boleh solat tiga sesi, peluang ini beri banyak peluang dan kami sangat bersyukur kerana 90 peratus hadir solat,” kata Khalid.
Bagi Datin Saripah Mat pula, beliau sangat bersyukur kerana jemaah wanita juga diberi peluang mendirikan solat sonat Aidilfitri walaupun secara bergilir-gilir.
Pada Rabu, JHEAPP mengumumkan solat sunat Aidilfitri di negeri itu dibuat secara penggiliran susulan PKP di seluruh negara.
Setiap masjid dan surau diberi kebenaran untuk menunaikan solat mengikut sesi yang ditetapkan selama 45 minit untuk satu satu sesi.
Sesi pertama bermula pukul 8.30 hingga 9.15 pagi, diikuti sesi kedua 9.45 hingga 10.30 pagi dan seterusnya sesi ketiga 11 hingga 11.45 pagi.
Setiap jemaah perlu mematuhi SOP yang ketat sepertimana yang ditetapkan dalam Garis Panduan Terkini JHEAIPP berkuatkuasa 12 Mei lalu.
#Umat Islam #pulau pinang #Solat sunat Aidilfitri #Lebaran AWANI #Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang #Surau Ar-Rayyan
;