Umat Islam perlu sedia berkorban - PM

Astro Awani
September 24, 2015 09:16 MYT
NAJIB: Kita juga mesti bersikap sederhana dalam segala hal dan tidak melampaui batas sebagaimana digariskan ajaran Islam.
Umat Islam semestinya sedia berkorban, bersepakat dan menyatakan kesepaduan terutama dalam soal akidah, syariah dan akhlak.
Dalam perutusan sempena Hari Raya Aidiladha, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengingatkan umat Islam supaya jangan sesekali bekerjasama dengan pihak yang ingin menjadikan mereka sebagai jambatan untuk mencapai hajat dan matlamat sehinga memporak-perandakan negara.
Dalam blognya NajibRazak.com, Perdana Menteri berkata Islam mengajar erti keamanan, perpaduan dan kesaksamaan.
Justeru umat Islam diseru untuk menghormati agama lain untuk mewujudkan keharmonian hidup bermasyarakat dan bernegara.
"Sikap berpuak akan hanya melemahkan perpaduan umat Islam dan boleh menggadai kuasa dan maruah yang ada.
"Kita juga mesti bersikap sederhana dalam segala hal dan tidak melampaui batas sebagaimana digariskan ajaran Islam," kata Najib.
Sehubungan itu, Najib menegaskan demi Islam dan masa depan ummah, sudah sampai masanya untuk umat Islam bersatu dan berganding bahu tanpa mengira fahaman politik serta bersama-sama mempertahankan keamanan dan perlembagaan negara yang cuba dicabar oleh pihak tertentu.
Najib dalam pada itu turut mengutus ucapan takziah kepada keluarga jemaah Malaysia yang terkorban dalam insiden kren tumbang di Masjidilharam 11 September lalu.
Tujuh jemaah Malaysia disahkan terkorban apabila kren yang dalam projek pembesaran Masjidilharam runtuh, dipercayai akibat ribut pasir dan kecuaian pemaju.
#hari raya aidiladha #jemaah #korban #masjidilharam #Najib Razak
;