Umat Islam perlu hayati toleransi agama - TPM

Bernama
Februari 3, 2017 20:21 MYT
AHMAD ZAHID: Toleransi agama perlu dihayati dan diterapkan dalam kalangan umat Islam agar agama itu tidak dipandang serong, dicurigai atau ditakuti. - Gambar AWANI / SHAHIR OMAR
Toleransi agama perlu dihayati dan diterapkan dalam kalangan umat Islam agar agama itu tidak dipandang serong, dicurigai atau ditakuti umat manusia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata ini kerana dikhuatiri kelak ada pihak-pihak yang mempunyai agenda tersembunyi menggunakan kejahilan terhadap Islam untuk membawa orang ramai meminggirkannya.
Katanya ketika Islam diunjur sebagai agama paling pantas berkembang di dunia, umatnya perlu menyeimbangkan soal dunia dan ukhrawi (akhirat) dalam kehidupan mereka.
"Dalam kehidupan ini, harus ada toleransi dan saling menghormati. Hormati juga agama lain supaya penganutnya turut menghormati Islam," katanya semasa berucap merasmikan masjid Al-Abyad bernilai RM11.6 juta di Matang Jaya di sini hari ini.
Antara yang turut mengiringi Timbalan Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat ialah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Masjid yang terletak di atas kawasan seluas 3.78 hektar itu mula digunakan pada Julai dan merupakan masjid kedua terbesar di Sarawak serta boleh memuatkan 5,000 jemaah. Esok, Ahmad Zahid dijangka menyertai penyokong Barisan Nasional (BN) di Lundu, kira-kira 80 kilometer dari sini, sebagai tanda sokongan kepada calon BN pada hari penamaan calon untuk pilihan raya kecil Tanjong Datu, sebelum menamatkan lawatan kerja tiga harinya di Sarawak.
-- BERNAMA
#akhirat #Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar #Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
;