Umat Islam perlu bersatu hati, kembalikan ketamadunan Islam - Al-Sultan Abdullah
Harits Asyraf Hasnan
Disember 19, 2019 11:52 MYT
Disember 19, 2019 11:52 MYT
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak seluruh umat Islam bersatu hati dan menyatakan komitmen dalam pembangunan ummah dan mengembalikan ketamadunan Islam.
Titah baginda, masih ramai umat Islam tertindas dan terperangkap dalam kemelut kemiskinan, kemunduran termasuk tempat tinggal.
“Kini tiba masa untuk kita semua untuk meluaskan usaha individu selama ini kepada ummah secara keseluruhan.
“Ayuh kita bersama menyatakan komitmen untuk mempraktikan apa yang telah kita lakukan lima kali sehari (solat) selama ini sebagai seorang individu, untuk menambahbaik kehidupan ummah dan mengembalikan semula kegemilangan Islam. Kini secara keseluruhan, negara Islam telah mencapai kegemilangan.
“Namun, kita masih berdepan dengan cabaran sukar dalam membangunkan dunia. Banyak kelompok komuniti yang masih menjadi mangsa kemiskinan dan kemunduran. Keperluan asas seperti makanan dan tempat tinggal masih tidak dipenuhi,” titah baginda ketika menyampaikan Titah Diraja Perasmian Sidang Kemuncak KL di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Malah, baginda turut menzahirkan Sidang Kemuncak KL ini perlu menjadi platform dalam memperbaiki kesalafaham terhadap agama Islam dari penganut-penganut agama lain serta ideologi mereka.
“Untuk membenarkan ia dibincangkan, masa depan Islam perlu diperkukuh kefahamannya dan dijadikan asas. Apabila ia dilaksanakan, ia akan melahirkan generasi Islam yang mampu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh kebijaksanaan, keberanian, keadilan dan kebebasan,” tambah baginda.
Justeru, baginda menyeru agar penyelesaian yang praktikal dapat diilhamkan daripada platform antarabangsa yang berlangsung sehingga Sabtu ini.
#Al-Sultan Abdullah Ri ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#Hassan Rouhani
#KL Summit
#KL Summit 2019
#Mahathir Mohamad
#Recep Tayyip Erdogan
#sidang kemuncak KL 2019
#tamadun Islam