Umat Islam perlu ambil iktibar dan semangat hijrah Rasulullah- Perdana Menteri

Rahimah Abdullah
Ogos 19, 2020 20:49 MYT
Muhyiddin berharap umat Islam mengambil iktibar dan semangat hijrah Rasulullah dengan sebaik-baiknya sempena sambutan Maal Hijrah 1442 hijrah.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap umat Islam mengambil iktibar dan semangat hijrah Rasulullah dengan sebaik-baiknya sempena sambutan Maal Hijrah 1442 hijrah.
Pada masa sama, beliau mendoakan hijrah setiap ummah akan dinilai dan diberi ganjaran di sisi Allah.
"Tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini iaitu, Ummah Rabbani Negara Harmoni, memberi penekanan kepada pembangunan negara yang seiring dengan konsep "Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur", iaitu Negara Baik yang mendapat Pengampunan Tuhan.
"Pendekatan ini menekankan niat mencari keredaan Allah SWT sebagai matlamat utama dalam mengekalkan negara kita sebagai negara maju, aman dan harmoni," katanya dalam kenyataannya sempena Sambutan Maal Hijrah 1442 hijrah/2020M.
Pada tahun ini, katanya, Maal Hijrah disambut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang dijangka tamat pada 31 Ogos 2020.
"Sambutan tahun ini mungkin tidak sama seperti tahun-tahun sebelumnya, namun semangat dan pengajarannya tetap memberikan kita kekuatan khususnya dalam mendepani cabaran wabak COVID-19 yang masih belum berakhir dan usaha memulihkan ekonomi negara," katanya.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada individu-individu yang banyak menyumbangkan idea demi pembangunan agama Islam.
"Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah memberi idea dan sumbangan kepada pembangunan Islam dalam negara kita. Kepada bakal tokoh-tokoh Maal Hijrah yang akan diumumkan nanti, tahniah saya ucapkan atas sumbangan dan bakti anda dalam menegakkan syiar Islam," ujarnya.
Justeru, beliau mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah kepada semua umat Islam di negara ini.
Sumber Facebook ts.muhyiddin
#Allah #ekonomi #Facebook #Islam #koronavirus #menteri #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #perintah kawalan pergerakan #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKPP
;