Umat Islam perlu amalkan adab, akhlak berpolitik digariskan agama - Osman Bakar
Bernama
Jun 22, 2023 05:00 MYT
Jun 22, 2023 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli politik dan penyokong parti politik beragama Islam diingatkan supaya mengamalkan konsep, akhlak dan adab berpolitik mengikut syariat, dan tidak memanipulasi agama hanya untuk kepentingan peribadi.
Tokoh pemikir dan Penyandang Kursi Al-Ghazali, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Peradaban Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Emeritus Datuk Osman Bakar berkata, demokrasi pada prinsipnya tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan seharusnya, ahli politik perlu memahami kaedah berpolitik yang dianjurkan agama.
Beliau berkata, dalam Islam, amalan berpolitik adalah bersandarkan nilai-nilai syariah yang memberi penekanan kepada perjuangan untuk kebenaran, keadilan dan kebajikan masyarakat serta amalan hormat-menghormati antara satu sama lain.
“Kita cakap kita ikut sunnah dalam pelbagai bidang tetapi bila sampai (tentang) politik, kita tidak mahu ikut. Itu tidak betul,” katanya pada program Malaysia Petang Ini, terbitan Bernama TV pada Khamis.
Dalam konteks pilihan raya negeri akan datang, Osman berkata, pengundi pula harus mengambil pedoman dan mendalami fahaman Islam serta menguatkan pemahaman tentang sistem politik agar tidak diseleweng pihak yang hanya menggunakan sentimen agama untuk meraih undi.
“Nabi Muhammad S.A.W. mengajar umatnya bahawa politik itu sentiasa tunduk kepada kehendak agama. Bukannya sebaliknya, itu sudah bercanggah dengan syariah Islam.
“Mereka (pengundi) harus dapat membezakan pihak yang hanya hendak menggunakan agama. Kalau kita tidak tahu apa itu agama dan politik, kita mudah diselewengkan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan pendidikan politik dilaksanakan di semua lapisan sistem pendidikan untuk menerapkan kesedaran dan kematangan politik kepada masyarakat, yang akan memberi kesan positif dalam jangka masa panjang. - BERNAMA