Umat Islam jangan berpuak-puak, perlu bersatu hati meskipun berbeza pandangan - Agong

Dewi Nur Harasha Alias
April 7, 2023 15:13 MYT
Yang di-Pertuan Agong (tengah) hadir pada majlis Pemasyhuran Masjid Jamek Ar-Rahmani dan Solat Jumaat di Kampung Banggol, Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini. - Foto Astro AWANI
TASEK GELUGOR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar umat Islam bersatu hati dan tidak berpuak-puak meskipun mempunyai perbezaan pandangan.
Seri Paduka bertitah, umat islam jangan terlalu taksub dengan pandangan masing-masing atau cepat beranggapan tidak baik terhadap mana- mana pihak kerana tindakan sedemikian adalah fenomena yang tidak 'sihat' untuk semua pihak.
Selain itu, Seri Paduka juga bertitah masjid perlu menjadi satu institusi yang cukup suci, mulia dan dihormati dan bukannya dijadikan sebagai 'gelanggang' yang boleh memecah-belahkan umat Islam.
"Kita janganlah jadikan masjid sebagai gelanggang yang boleh memecah-belahkan, dan kita jangan mudah seolah-olah kita ini berpuak-puak 'don't be to judgemental', jangan cepat beranggapan orang ini puak A, orang ini puak B, orang ini puak C.
"Ini adalah satu fenomena yang kurang sihat dan tidak sihat langsung, kita semua hamba Allah, kita (ada) satu Allah, satu rumpun orang Melayu dan beragama Islam mengikut ajaran taksiran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan percaya kepada Quran dan sunnah, hadis, itu pegangan kita.
"Walaupun ada perbezaan pandangan jangan terlalu taksub dengan pandangan berkenaan, yang lebih penting harus bersifat menyatukan walaupun perbezaan pandangan. Ini antara ciri -ciri yang boleh memajukan umat, negeri kita, kampung kita dan secara keseluruhannya negara kita," titah baginda.
Baginda bertitah pada majlis Pemasyhuran Masjid Jamek Ar-Rahmani dan Solat Jumaat di Kampung Banggol, Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.
Hadir mengiringi Seri Paduka, Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan tahniah di atas pemasyuran masjid berkenaan dan berharap masjid yang dibina sejak tahun 80-an itu dapat diimarahkan dengan sebaik mungkin oleh umat Islam khususnya penduduk setempat di kawasan Tasek Gelugor.
Pada majlis berkenaan, Seri Paduka juga berkenan menandatangani plak pemasyhuran masjid itu serta mengurniakan sumbangan kepada 50 penerima.
#Yang di-Pertuan Agong #Umat Islam #tasek gelugor #berpuak-puak
;