Umat Islam diseru terus hulur bantuan kepada rakyat Palestin - Mohd Na'im

Bernama
Januari 17, 2025 13:15 MYT
Mohd Na'im berkata rakyat Palestin telah mengharungi konflik dengan penuh kesengsaraan serta penderitaan dan memerlukan sokongan masyarakat dunia untuk membina semula kehidupan. - Gambar fail
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar menyeru umat Islam terus menghulurkan bantuan kepada Palestin sebagai tanda kesatuan hati dan jiwa menyokong rakyatnya yang ditindas rejim Israel.
Beliau berkata rakyat Palestin telah mengharungi konflik dengan penuh kesengsaraan serta penderitaan dan memerlukan sokongan masyarakat dunia untuk membina semula kehidupan.
"Marilah bersama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar masyarakat di Palestin terus diberikan keafiatan dan kesejahteraan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama beliau turut menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan gencatan senjata mesti menjadi batu loncatan ke arah matlamat menubuhkan negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan berdaya maju yang telah sekian lama tertangguh.
Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Madya Datuk Mohamad Azam Mohamed Adil berkata perjanjian gencatan senjata di Gaza hasil daripada tekanan antarabangsa itu diharap menjadi langkah awal menuju keamanan lebih stabil di rantau berkenaan.
Beliau berkata perjanjian itu mestilah mencerminkan nilai-nilai perdamaian dan keadilan yang holistik kepada rakyat Palestin di Gaza.
"IKIM menyambut baik dan menyokong penuh langkah gencatan senjata yang telah dipersetujui dalam usaha meredakan ketegangan dan penderitaan di Gaza. Langkah ini satu perkembangan positif ke arah penyelesaian konflik yang telah menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan dahsyat di wilayah berkenaan.
"IKIM memandang serius situasi kemanusiaan di Gaza dan menekankan bahawa usaha ini satu langkah penting dalam memastikan keamanan dan keselamatan penduduk Palestin," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menyeru masyarakat antarabangsa untuk terus memainkan peranan proaktif dalam memastikan kestabilan dan pembangunan semula Gaza dapat dilaksanakan dengan berkesan.
"Semoga langkah gencatan senjata ini menjadi asas kepada penyelesaian konflik yang lebih menyeluruh dan membawa keamanan berkekalan kepada seluruh rantau.
"IKIM kekal komited dalam menyuarakan keprihatinan terhadap isu-isu kemanusiaan dan terus mendukung usaha ke arah keamanan sejagat," katanya.
Genjatan senjata berkenaan akan berlaku dengan tiga fasa dan setelah penjanjian gencatan ini termeterai, perkara pertama Israel perlu benarkan adalah dengan membina 60,000 rumah dan mendirikan 200,000 khemah dengan segera dalam tempoh 42 hari dan pintu sempadan perlu dibuka untuk memberi laluan bantuan makanan dan perubatan.
Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar Mohammed bin Abdulrahman mengumumkan pada petang Rabu kejayaan perantara mencapai perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza dengan pelaksanaannya dijadual bermula Ahad.
-- BERNAMA
#Gaza #gencatan senjata #Israel #Malaysia
;