Umat Islam digesa bertanggungjawab dalam penglibatan masyarakat majmuk
Astro Awani
April 6, 2024 14:05 MYT
April 6, 2024 14:05 MYT
KUALA LUMPUR: Dalam satu diskusi, Datuk Dr Afifi al-Akiti, seorang ahli teologi dan ahli falsafah yang disenaraikan setiap tahun dalam 'The 500 Most Influential Muslims', menekankan peri pentingnya agar umat Islam lebih sensitif terutamanya yang tinggal dalam masyarakat majmuk berbilang budaya dan agama melaksanakan tanggungjawab mereka membendung polarisasi dalam interaksi harian.
Berdasarkan pengalamannya di Universiti Oxford, di mana beliau berinteraksi dengan sarjana daripada pelbagai disiplin, Dr Afifi menekankan kelaziman ‘polarisasi afektif’ dalam wacana politik global kontemporari.
"Polarisasi afektif," Dr Afifi menjelaskan, "ialah berkaitan dengan manipulasi emosi dan bukannya perdebatan isu dasar, yang boleh membawa kepada peningkatan ketegangan emosi yang berbahaya."
Dr Afifi yang juga Felow Kuwait dalam Pengajian Islam di Oxford Centre for Islamic Studies berkongsi pendapatnya dalam podcast 'Kindred Stories,' bertajuk 'Islam and the West, Exploring al-Ghazali's Teachings and Bridging Differences,' yang diterbit dan dihoskan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan pada Selasa.
Beliau juga merujuk kepada kebangkitan kecenderungan ultra nasionalis populisme di seluruh dunia, mengambil contoh seperti Presiden Donald Trump di Amerika Syarikat, Presiden Jair Bolsonaro di Brazil, peristiwa Brexit di UK, dan pemimpin lain seperti Presiden Recep Tayyip Erdogan di Turki dan Perdana Menteri Narendra Modi di India.
Dr Afifi juga bimbang bahawa gabungan politik dan agama dalam gerakan populis tersebut adalah berbahaya.
"Dalam landskap perang budaya hari ini, kita menyaksikan pertembungan nilai dan agama di antara satu sama lain," kata Dr Afifi sambil menekankan keperluan untuk menjelaskannya di tengah-tengah kebanjiran individu yang mengetengahkan retorik populis untuk meraih sokongan politik.
Sebagai seorang Muslim yang menetap di negara Barat, beliau menyatakan kelemahan golongan minoriti dalam persekitaran sedemikian, dan cabaran Islamofobia yang dihadapi mereka untuk mengelakkan prasangka daripada golongan yang bersifat ultra nasionalis berhaluan kanan dan populisme agama.
Sebaliknya, menggambarkan dinamik masyarakat di Malaysia, Dr Afifi menekankan keperluan untuk berwaspada terhadap kesan buruk nasionalisme yang melampau dan populisme agama.
"Kita mesti bertanggungjawab untuk tidak memburukkan lagi ketegangan yang sedia ada. Kita mesti bertanggungjawab untuk tidak memburukkan lagi keadaan.
"Janganlah kita menambah bahan api kepada kebakaran," tegasnya sambil menyeru usaha kesepaduan bagi memupuk persefahaman dan dialog dalam masyarakat yang bersifat majmuk.
Dalam dunia kini yang penuh dengan ‘peperangan budaya’ dan perpecahan ideologi, mesej Dr Afifi diharap menjadi pedoman tentang tanggungjawab bersama umat Islam untuk mengembalikan toleransi dan rasa hormat terhadap orang bukan Islam dalam masyarakat berbilang budaya dan agama terutama di negara majoriti Islam seperti Malaysia.
Ketika umat Islam mengemudi peranan mereka dalam persekitaran sedemikian, seruan untuk penglibatan yang bertanggungjawab diperlukan sebagai sebuah sinar harapan di tengah-tengah kemelut geopolitik kontemporari.