Umat Islam digesa bela mereka yang lemah tanpa kira agama, kaum - Anwar

Bernama
November 8, 2019 21:34 MYT
ANWAR: Mana mungkin juga sekiranya kita gah membicarakan Islam, sedangkan ada mereka yang masih lagi dihimpit dan dirundung kemiskinan dan peminggiran. - Gambar fail/BERNAMA
Setiap orang Islam mempunyai tanggungjawab untuk membela mereka yang lemah dan melarat, tanpa diambil kira latar belakang kaum dan agama dalam negara majmuk seperti Malaysia, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata sekiranya tanggungjawab itu tidak atau gagal difahami umat Islam, maka mereka masih jauh untuk dipandang sebagai umat yang cakna dan progresif.
"Gagasan Nabi Muhammad SAW terkait keadilan, kesaksamaan, menolak keras idea dan faham perkauman sempit, serta ketegasan Baginda dalam menentang kebobrokan dan kezaliman mesti difahami, dengan iltizam untuk memaknakannya ke arah islah atau reformasi dalam sistem masyarakat kita.
"Mana mungkin juga sekiranya kita gah membicarakan Islam, sedangkan ada mereka yang masih lagi dihimpit dan dirundung kemiskinan dan peminggiran," kata Anwar dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul 1441H di laman sosial Facebooknya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata tanggal 12 Rabiuawal setiap tahun, adalah tarikh yang teramat penting buat umat Islam seluruh dunia, kerana ia adalah hari kelahiran junjungan besar umat yakni Nabi Muhammad SAW.
"Idea, prinsip dan gagasan yang dibawa Baginda ternyata bukan suatu yang asing buat setiap mereka yang beragama Islam.
"Sebagai umat Nabi Muhammad SAW sudah semestinya sejarah dan perjuangan Baginda menjadi sandaran dan ikutan kita dalam menjalani dan membentuk perjalanan hidup," katanya.
-- BERNAMA
#12 Rabiuawal #Ahli Parlimen Port Dickson #Anwar Ibrahim #Maulidur Rasul #Nabi Muhammad SAW #Presiden PKR #Umat Islam
;