Umat Islam diancam fahaman agungkan nafsu manusia semata-mata - Najib
Bernama
Mei 14, 2014 08:07 MYT
Mei 14, 2014 08:07 MYT
Agama Islam dan umatnya kini diuji dengan satu bentuk ancaman dan serangan baharu yang agresif iaitu fahaman humanrightisme yang mengagungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata fahaman itu dilihat seolah-olah menjadi satu cabang agama baharu yang amat pesat berkembang di dalam dan luar negara.
"Fahaman humanrightisme ini, di mana rambu dan rencah utamanya adalah berasaskan pemikiran humanisme dan sekularisme serta liberalisme.
"Ia bersifat songsang apabila mengagungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata dan menolak sebarang sistem nilai yang merangkumi norma agama dan adab susila. Mereka lakukan ini kononnya atas dasar memperjuangkan hak asasi manusia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-57 yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Sultan Ahmad Shah di sini malam tadi.
Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Najib berkata pemikiran songsang itu cuba dicerna dan disebarkan dengan mengaitkan kesucian agama Islam dan ia merupakan ancaman yang amat berbahaya kepada akidah dan syariat Islam itu sendiri.
"Makanya pada hari ini sekali lagi kita menegaskan bahawa agama Islam yang dianuti, yang diamalkan dan dinobatkan sebagai agama negara (rasmi) di Malaysia adalah Islam yang berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagaimana yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad dan sahabat baginda.
"Kita tidak akan reda dengan sebarang tuntutan agar hak untuk murtad daripada Islam diberikan, atau hak umat Islam ini dilaksanakan melalui Mahkamah Syariah dinafikan, mahupun sebarang perilaku songsang LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender)," katanya.
Beliau berkata, sebagai sebuah negara Islam yang memartabatkan Maqasid Syariah (pelaksanaan syariat mengikut al-Quran dan Sunnah), Malaysia amat menitik-beratkan kebajikan setiap insan tanpa mengira kaum dan warna kulit, bahasa dan agama.
Najib berkata keadilan, keseimbangan dan kecemerlangan adalah ciri wasatiyyah atau kesederhanaan yang digunakan untuk pelaksanaan hak asasi manusia di negara ini.
"Manakala pemahaman hak asasi manusia yang ekstrem diwasatiyyahkan dengan kerangka undang-undang, perlembagaan dan nilai budaya bangsa."
Perdana Menteri berkata, pemahaman agama Islam yang sebenar dan menyeluruh menjadi asas kekuatan negara dan rakyat harus berusaha memahami al-Quran mengikut pemahaman Nabi Muhammad SAW yang menekankan konsep keimanan dan ketakwaan hanya kepada Allah SWT serta persaudaraan erat sesama Islam.
"Oleh demikian, umat Islam diingatkan supaya terus menghayati dan memahami secara mendalam bacaan ayat suci al-Quran," katanya.
Beliau berkata tema majlis tilawah kali ini "Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' sesungguhnya berkait rapat dengan kesederhanaan yang dididik dan diteladankan oleh Nabi Muhammad SAW melalui sirahnya.
"Meneladani sunnahnya (Nabi Muhammad SAW), maka telah sekian lamanya negara kita telah meletakkan keharmonian dan keadilan serta kesatuan antara rakyat dan Malaysia sebagai agenda utama negara.
"Ini sejajar dengan usaha kita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang moden dan progresif dalam mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya.