Umat Islam di Melaka boleh semak arah kiblat Rabu ini - Mufti
Bernama
Mei 25, 2020 17:17 MYT
Mei 25, 2020 17:17 MYT
Umat Islam di Melaka boleh membuat semakan arah kiblat di rumah, surau dan pejabat, Rabu ini, apabila kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah ekoran fenomena unik dikenali sebagai 'istiwa' a'zam' yang berlaku dua kali setahun.
Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil, berkata penentuan arah kiblat itu boleh dilakukan dengan memerhati bayang-bayang matahari yang dihasilkan oleh objek tegak tepat pada jam 5.16 petang.
"Pilih ruang solat di masjid, surau, rumah atau pejabat yang menerima cahaya matahari pada waktu petang dan tegakkan satu tiang di ruang tersebut atau boleh juga menggunakan bayang sisi tingkap yang membolehkan cahaya matahari masuk ke ruang berkenaan.
"Pastikan tiang yang ditegakkan betul-betul tegak (seperti menggunakan sesiku). Selain daripada tiang yang dipacakkan, semakan boleh juga dibuat berdasarkan tiang rumah, sisi rumah yang tegak atau mana-mana objek yang tegak," katanya, dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata jika arah bayang tegak lurus dengan saf bermakna arah kiblat masjid, surau dan tempat kediaman adalah tepat dan betul namun jika arah bayang serong dengan saf bermakna arah kiblat tersebut kurang tepat.
Katanya, oleh kerana fenomena tersebut berlaku sebelah petang di negara ini, maka bayang-bayang tiang akan jatuh ke arah timur dan arah kiblat ialah arah yang mengarah ke barat.
Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata fenomena istiwa' a'zam' berlaku sebanyak dua kali dalam setahun iaitu pada setiap 27 Mei dan 15 Julai (pada jam 5.28 petang).
-- BERNAMA
#Abdul Halim Tawil
#arah kiblat
#bayang-bayang matahari
#istiwa a'zam
#kiblat
#Mufti Melaka
#Umat Islam