Umat Islam di Malaysia beruntung rai Aidilfitri meriah, harmoni
Bernama
Jun 28, 2017 19:28 MYT
Jun 28, 2017 19:28 MYT
Umat Islam di negara ini beruntung kerana dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama dengan keluarga, orang tersayang, kawan-kawan dan jiran taulan dalam keadaan meriah, harmoni di negara yang aman damai ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata jika dilihat di sesetengah negara Islam lain, mereka tidak mampu meraikan hari lebaran itu seperti rakyat di Malaysia.
"Mereka tidak beruntung seperti kita, sambutan cukup sederhana, lebih menyedihkan lagi ada yang langsung tidak punya peluang menyambut Syawal, nyawa bagai di hujung tanduk, serangan dan keganasan tanpa mengira masa sering menimpa mereka.
"Sama-samalah kita teruskan berdoa buat saudara seIslam kita yang kurang bernasib baik, semoga Allah SWT melindungi dan memberi keamanan buat mereka," katanya dalam catatan terbaru blog rasminya www.najibrazak.com.
Beliau mengingatkan kelebihan dan kemeriahan Aidilfitri di Malaysia adalah hasil rahmat dan kurniaan Yang Maha Esa dan rakyat perlu terus mensyukuri dan melindunginya.
Najib turut berkongsi beberapa situasi yang biasa dapat dilihat dalam kalangan umat Islam di negara ini ketika meraikan Hari Raya Aidilfitri.
"Pagi Hari Raya Pertama, anak-anak kecil biasanya yang paling gembira, berbaju baharu dan dapat bertemu saudara-mara, kecoh satu rumah dengan telatah mereka, lagi-lagi bila sampai masa untuk kumpul duit raya!
"Begitulah juga gembiranya ibu dan bapa, dapat berkumpul satu keluarga, terutamanya yang anak-anak mereka tinggal berjauhan, mungkin setahun sekali baru dapat bersua muka.
"Tak kurang juga meriah anak-anak muda golongan remaja menyambut raya. Bergaya betul #TeamRayaKL ambil foto di tengah jalan raya yang kosong dan lengang, #TeamRayaKampung pun sama tidak lepaskan peluang ambil foto di bendang dan sawah, biasalah orang bandar sekali-sekala masuk kampung!," katanya.
Menurut Najib, sekiranya umat Islam terus berusaha sehati dan sejiwa bersatu padu sebagai sebuah negara, keistimewaan dan kelebihan itu dapat dipelihara sentiasa, selain Aidilfitri saban tahun dapat terus diraikan bersama dalam suasana gembira.
-- BERNAMA