UM8 kemuka rayuan ke pejabat Naib Canselor
Omar Asim
Disember 19, 2014 17:57 MYT
Disember 19, 2014 17:57 MYT
Wakil mahasiswa Universiti Malaya yang dikenali sebagai UM8 tampil untuk mengemukakan rayuan kepada Naib Canselor di bangunan Canseleri di sini, hari ini.
Ini sejurus selepas pihak universiti memberi masa selama 14 hari (dua minggu) untuk membuat rayuan ke atas tindakan disiplin yang telah dikenakan pada 9 Disember kepada mahasiswa-mahasiswa terbabit.
“Kami akan menghantar kepada Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan mungkin juga kepada menteri untuk pastikan supaya tuduhan ke atas kami digugurkan,” kata bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Fahmi Zainol.
Beliau menjelaskan kegagalan jawatankuasa tatatertib merujuk dan mengikuti prosedur-prosedur prosiding tatatertib termasuk gagal dalam menjalankan prosiding dengan adil dan saksama.
"Ahli-ahli panel prosiding yang tiada kelayakan dalam bidang undang-undang adalah antara sebab mengapa UM8 bertindak mengemukakan rayuan," tambah Fahmi.
Ini juga disokong oleh Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya, Haw Yu Hong yang mengatakan proses prosiding itu bersifat tidak adil dalam menyelesaikan kemelut yang menimpa pelajar-pelajar tersebut.
“Bagaimana seorang pendakwa raya boleh menjadi seorang hakim pada masa yang sama? Bukti-bukti yang dikemukakan juga sangat kabur malah tidak dapat membuktikan kesahihan bukti terbabit, ia adalah satu prosiding yang tidak adil.
“Kami menganggap seluruh proses tersebut sebagai satu penipuan dan kami mahu pihak universiti menggugurkan kesemua tuduhan dan hukuman yang dikenakan ke atas UM8,” katanya.
Sementara itu, Fahmi Zainol berkata terdapat kemungkinan untuk UM8 membawa isu ini ke pihak yang lebih tinggi sekiranya rayuan yang dikemukakan tidak berjaya.
“Kalau tidak berjaya, kita mungkin akan merujuk ke pihak kehakiman. Walaubagaimanapun, kita akan lalui segala proses dahulu, sekiranya tidak berjaya proses di bawah universiti, kita akan bawa perkara ini ke mahkamah luar,”jelasnya semasa sidang media sebentar tadi.
UM8 terdiri daripada lapan mahasiswa yang didakwa dan dijatuhkan hukuman oleh pihak universiti kerana terlibat dalam satu penganjuran perhimpunan haram pada 27 Oktober.
Penganjuran ‘Occupy UM8’ sudah masuk hari kesembilan ini dianjurkan oleh Mahasiswa UM sebagai tanda solidariti penuh kepada UM8 agar pihak universiti menggugurkan hukuman terhadap mereka.