UM tutup dua premis 24 jam didakwa jual sandwic diragui halal
Sinar Harian
Januari 11, 2025 12:15 MYT
Januari 11, 2025 12:15 MYT
KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) menutup dua premis jualan runcit 24 jam serta-merta berikutan dakwaan penemuan produk pek sandwic yang diragui halal.
UM dalam satu kenyataan memaklumkan, arahan penutupan tersebut dikeluarkan bagi memberi ruang agar siasatan yang dilaksanakan untuk mengesahkan dakwaan tersebut tidak terganggu.
"Terdapat penemuan produk pek sandwic yang memaparkan label 'sandwic ham & cheese' serta keraguan terhadap penggunaan logo halal bagi produk tersebut yang didapati di gedung berkenaan.
"Oleh itu, premis berkenaan akan ditutup sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak," katanya pada Sabtu.
Tambah kenyataan itu, UM sentiasa memastikan bahawa produk yang terjual dalam kampus adalah daripada pembekal yang mematuhi undang-undang, piawaian, peraturan dan prosedur yang dikenakan. - Sinar Harian