'Ultraman' bantu edar Jalur Gemilang di SJR

Bernama
Ogos 19, 2021 06:31 MYT
Mohamad Syukur yang memakai kostum Ultraman itu berkata dia bertindak sedemikian hanya kerana mahu menghiburkan orang ramai termasuk petugas barisan hadapan. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Pengguna jalan raya yang melalui sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini teruja kerana menerima bendera Jalur Gemilang daripada seorang lelaki yang mengenakan kostum karakter adiwira 'Ultraman'.
Selain Ultraman, penyerahan bendera kepada pengguna jalan raya itu turut disertai Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong dan Pengarah Jabatan Penerangan Pulau Pinang Dr Haniff Hassan.
Mohamad Syukur Mohd Patthi, 27, yang memakai kostum Ultraman itu berkata dia bertindak sedemikian hanya kerana mahu menghiburkan orang ramai termasuk petugas barisan hadapan yang bekerja di SJR di situ.
"Saya 'jadi' Ultraman hari ini untuk bersama-sama mengedarkan bendera kepada orang ramai di SJR ini supaya mereka dapat mengibarkan Jalur Gemilang di bulan kemerdekaan ini," katanya ketika ditemui selepas mengedarkan Jalur Gemilang, pada Khamis.
Sementara itu, Soffian berkata beliau terkejut dengan kehadiran Ultraman dan langsung tidak menyangka adiwira tersebut akan menyertai mereka untuk menyerahkan bendera kepada orang ramai yang melalui jalan tersebut.
Beliau berkata walaupun polis menjalankan tugas pemeriksaan di SJR itu, pihaknya turut mengedarkan sebanyak 200 bendera kepada orang ramai.
-- BERNAMA
#Ultraman #SJR #Jalur Gemilang #Sekatan Jalan Raya #adiwira #bendera #Polis Daerah Timur Laut
;