Ulat hitam 'serang' Kampung Tebengau Tepi Laut
Bernama
November 23, 2023 22:28 MYT
November 23, 2023 22:28 MYT
ALOR SETAR: Kemunculan ribuan ulat berwarna hitam kembali menghantui penduduk Kampung Tebengau Tepi Laut, Kuala Kedah, di sini selepas kejadian sama berlaku pada 2016 hingga mengganggu kehidupan seharian penduduk.
Pengusaha kedai makan, Zailila Had, 39, berkata ulat yang kelihatan seperti beluncas itu disedari muncul di pokok di sekitar premisnya sejak Selasa lepas menyebabkan dia terpaksa menutup sementara perniagaannya.
"Ini kejadian kedua berlaku di sini selepas yang pertama pada tujuh tahun lepas. Ulat ini memakan daun menyebabkan daun menjadi kering selain memusnahkan pokok api-api di sepanjang pantai Tebengau.
"Buat masa ini situasinya tidak seteruk dulu, tapi kalau tidak dicegah kemungkinan boleh merebak dengan cepat dan menjejaskan kehidupan penduduk seperti dulu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Penduduk kampung, Ku Othman Ku Jiwa, 63, pula berkata ulat tersebut dipercayai datang dari kawasan rimbunan pokok api-api di kampung berkenaan.
Menurutnya jika tidak dibendung, ulat tersebut akan beralih ke kawasan penempatan penduduk dengan cepat yang terletak kira-kira 15 hingga 20 meter dari kawasan yang dipercayai menjadi habitat ulat itu.
"Ulat ini bukan sahaja merayap pantas di atas pokok untuk memakan daun, malah turun dan merayap di tanah untuk ke pokok baharu. Ulat ini agak bahaya, saya dan isteri pernah mengalami gatal-gatal pada kulit hingga dimasukkan ke Hospital Yan dalam kejadian pada 2016," katanya.
Justeru, dia memohon pihak bertanggungjawab melakukan sesuatu bagi membendung ulat tersebut daripada merebak sekali gus mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini kepada kira-kira 80 keluarga yang tinggal di kampung itu.
Bagi Yunus Saad, 59, pada 2016 kemunculan ulat tersebut telah menyebabkan majlis perkahwinan anaknya terganggu dan dia khuatir kali ini situasi sama berlaku kepada mana-mana penduduk.
"Masa itu ulat sudah tidak terkawal dan sangat banyak hingga khemah perkahwinan serta kenderaan tetamu dihinggapi ulat...lepas itu baru beberapa pihak termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM) bertindak tebang pokok dan sembur racun hingga ia dapat dihapuskan," katanya yang berharap tindakan sama dapat diambil oleh agensi itu.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar Kapten (PA) Abdul Haliq Rafiq Mokhtar ketika dihubungi berkata pihaknya telah dimaklumkan berhubung kejadian itu dan menghantar beberapa anggota untuk meninjau di lokasi berkenaan.
Beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan yang sesuai bagi membendung kemunculan ulat tersebut agar penduduk dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
-- BERNAMA