Ular tedung selar 16 kaki 'pelanggan' kedai

Bernama
Jun 11, 2019 04:17 MYT
Ular tersebut yang dianggarkan seberat tujuh kilogram berjaya ditangkap seorang penyelia kebun kelapa sawit. - Foto BERNAMA
Sebuah kedai di Kampung Permatang Pinang di Merchong, Pekan dekat sini, menerima 'pelanggan' tidak diundang iaitu ular tedung selar sepanjang 4.8 meter (16 kaki), pada Selasa.
Ular tersebut yang dianggarkan seberat tujuh kilogram bagaimanapun berjaya ditangkap seorang penyelia kebun kelapa sawit, Shafiq Zulkifli, 23 tahun, yang dikenali penduduk sekitar Pekan sebagai 'penjinak ular'.
Shafiq yang sudah lima tahun 'berjinak' dengan ular berkata kerja menangkap reptilia itu dilakukan di bawah pengawasan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi.
"Saya dimaklumkan oleh pemilik kedai dan pihak bomba berhubung penemuan ular itu yang berada di sebalik rak sekitar 12 tengah hari.
"Ular itu didapati tidak melawan mungkin kerana dipercayai baru bersalin kulit kerana kulitnya yang masih cantik dan tiada kesan calar," katanya semasa dihubungi Bernama di sini, pada Selasa.
Shafiq berkata dia mengambil masa selama lima minit untuk menangkap ular itu dengan menggunakan tangan sebelum dimasukkan ke dalam guni.
Ular itu, menurutnya dilepaskan di habitat asal haiwan tersebut di Nenasi.
-- BERNAMA
#bomba #Kampung Permatang Pinang #kedai #Pekan #Penduduk #ular tedung selar
;