Ular tedung 3 meter berlingkar di bilik air
Ruzaini Zulkepli
November 21, 2017 11:47 MYT
November 21, 2017 11:47 MYT
Niat seorang suri rumah untuk mengambil wuduk terpaksa dibatalkan selepas dia tersentak dengan kehadiran 'tetamu tidak diundang' iaitu seekor ular tedung selar.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam di Kampung Takuli, Beaufort, ular sepanjang 3.35 meter dan seberat 15 kilogram itu didapati berlingkar berhampiran baldi di bilik air mereka.
Suami suri rumah tersebut, Abdullah Danal, 53, berkata, ketika itu dia sedang berkerja di daerah Kuala Penyu sebelum dikejutkan dengan panggilan telefon dari isterinya yang berusia 40-an mengenai insiden berkenaan.
"Saya bekerja sebagai pemandu lori dan ketika kejadian itu saya sedang berada di Kuala Penyu.
"Sedang sibuk bekerja, saya menerima panggilan daripada isteri yang mendakwa terjumpa seekor ular ketika dia mahu mengambil wuduk di bilik air kami dan tanpa berlengah, saya bergegas balik ke rumah semula kerana bimbang perkara buruk terjadi," katanya, ketika dihubungi hari ini.
Menurut Abdullah, setibanya di rumah, dia mendapati ular berkenaan masih berlingkar di ruangan bilik mandi mereka dan terpaksa menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort, untuk meminta bantuan menangkap reptilia berbisa itu.
Sementara itu, pegawai APM Beaufort Mohd Mayroof Koibil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan terbabit pada jam 5.05 petang sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke rumah pengadu untuk bantuan kecemasan.
"Sebuah jentera dengan kekuatan seramai tiga anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan itu dan sebaik tiba di rumah pengadu pada jam 5.35 petang, kita dapati ada seekor ular tedung sedang berlingkar di bahagian bilik air pengadu.
"Reptilia berkenaan kemudiannya menyusur ke bahagian dapur untuk melarikan diri dan berjaya lolos ke kawasan luar rumah pengadu.
"Hasil ketangkasan sepasukan anggota APM yang bertugas, ular tedung itu akhirnya berjaya ditangkap dengan menggunakan peralatan khas dan alat penjerut," katanya.
Mohd Mayroof berkata, ular tersebut kemudiannya dibawa ke pejabat APM Beaufort untuk tindakan lanjut.
"Operasi berjaya ditamatkan pada jam 6.11 petang dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian ini.
"Kita juga tidak menolak kemungkinan bahawa ular tedung berkenaan muncul daripada kawasan belukar berhampiran rumah pengadu," tambahnya.