Seorang suri rumah yang terdengar bunyi jeritan kucing yang kuat di luar rumahnya malam tadi terkejut apabila terlihat seekor ular sawa batik sedang cuba membaham ayam ternakannya.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 10.30 malam itu, ular sawa itu menyelinap masuk ke bahagian belakang sebuah kompresor pendingin hawa apabila orang kampung cuba menangkapnya.

Bagaimanapun, dengan bantuan seorang penjinak ular, ia akhirnya berjaya ditarik keluar dan kepalanya diikat menggunakan pita pelekat oleh orang kampung yang bimbang ia akan bertindak menyerang.

Reptilia sepanjang tiga meter itu kemudiannya diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Kulim untuk tindakan lanjut.

Menurut penduduk, ini kali pertama kejadian ular sawa sebesar itu memasuki kampung mereka.