Ular seberat 26 kilo naik tingkat 14 PPR, ganggu tidur gadis
Astro Awani
Mac 20, 2019 17:44 MYT
Mac 20, 2019 17:44 MYT
Seorang gadis berdepan detik ngeri selepas nyaris dibelit seekor ular sawa yang dianggarkan seberat 26 kilogram dalam kejadian di Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) di sini awal pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, Nur Alia Aqilla Jamaluddin,18, sedang nyenyak tidur di dalam sebuah bilik sebelum menyedari kehadiran tetamu tidak diundang itu.
Menurut Nur Alia, dia menyedari ada objek merayap dan melingkar di lehernya menyebabkan remaja berkenaan pantas bergegas meninggalkan tempat tidurnya bagi menyelamatkan diri.
“Ada benda yang belit-belit dekat tengkuk saya ni, macam benda lembik-lembik. Saya tidak tahu pula itu rupanya ular. Lepas itu saya bangun tengok ular, sebab dia belit dah, lidah dia dah dekat tengkuk saya ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.
Katanya sejurus menyedari ‘sang batik’ berada dalam kediaman, ibu saudaranya menghubungi pihak bomba dan berjaya mengesan ular yang bersembunyi di bawah katil.
Kes ini dikatakan pertama kali berlaku di kawasan perumahan setinggi 17 tingkat itu.
Para penduduk dan penghuni flat berkenaan juga pelik bagaimana ular berukuran sepanjang kira-kira 3.3 meter itu mampu berada pada tingkat 14 kediaman itu.